KANGAR: Sekolah Tengku Budriah (STB) muncul juara kejohanan Bolakid 2022 bawah sembilan tahun (B-9) selepas menewaskan Sekolah Kebangsaan (SK) Oran 1-0 dalam final di Stadium Tuanku Syed Putra di sini, semalam.
Tempat ketiga bagi pula diraih oleh SK Kayang yang mengalahkan SK Raja Syed Alwi juga 1-0.
Bagi kategori bawah B-11, SK Utan Aji muncul juara selepas menewaskan SK Titi Tinggi 1-0 dalam perlawanan yang cukup sengit.
Juara dua kategori yang dipertandingkan dalam kejohanan itu membawa pulang piala pusingan, wang tunai RM1,800, medal dan sijil penyertaan. Tempat kedua pula membawa pulang RM1,500, medal dan sijil penyertaan.
Penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Penaung Pertubuhan Abata Sukan Rekreasi (Abata), Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, penganjuran program dengan kerjasama Jabatan Pendidikan negeri itu adalah bertujuan memberi fokus terhadap pembangunan akar umbi bola sepak di Perlis.
Katanya, selain itu, penganjuran program berkenaan dapat memberi peluang kepada murid-murid sekolah merasai pengalaman bermain secara profesional.
“Sebanyak 56 pasukan mewakili sekolah rendah seluruh Perlis menyertai kejohanan ini yang menampilkan suasana seperti perlawanan profesional dengan harapan ia dapat melahirkan pelapis bola sepak masa depan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan akhir tersebut.
Dalam pada itu, Fathul Bari berkata, bagi penganjuran kejohanan berkenaan pada tahun depan, pihaknya bercadang menganjurkan Tour Bolakid League melibatkan lapan kawasan zon di Perlis.
Setiap zon akan menganjurkan perlawanan liga peringkat dalaman terlebih dahulu bagi memilih empat pasukan terbaik kategori bawah sembilan dan 11 tahun.
“Kita memang berhasrat menjadikan kejohanan Bolakid ini sebagai aktiviti tahunan dengan menampilkan Perlis sebagai perintis kepada pelaksanaan program ini untuk dikembangkan di seluruh negara,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Abata, Mohd. Hafizi Che Yusof berkata, kejohanan tersebut mendapat sambutan yang cukup luar biasa membabitkan penyertaan pasukan dari sekolah-sekolah rendah seluruh negeri ini.
“Sebanyak 24 pasukan membabitkan kategori bawah sembilan tahun dan 32 pasukan membabitkan kategori bawah 11 tahun yang melalui pusingan peringkat kumpulan seterusnya pusingan kalah mati,” katanya. – UTUSAN ONLINE