KOTA BHARU: Pengendali The Red Warriors (TRW), Rezal Zambery Yahya menyifatkan setiap perlawanan diharungi pasukannya ibarat aksi final yang akan menjadi penentu sama ada mereka layak menjuarai Liga Perdana musim ini.
Anak kelahiran Johor itu mahu pertemuan menentang Kuching City di Stadium Sultan Muhammad IV petang ini dimafaatkan sebaik mungkin untuk meraih tiga mata dalam usaha mengukuhkan cengkaman di puncak liga.
“Kuching City berjaya mengalahkan kita di tempat mereka pada pusingan pertama dahulu dan bagi saya, kita tidak boleh terima kekalahan kali kedua.
“Saya akan menurunkan pasukan dengan kekuatan penuh bagi perlawanan kali ini lebih-lebih lagi kita beraksi di hadapan penyokong setia TRW,” katanya.
Rezal memberitahu, selain turun meraih tiga mata aksi tersebut turut memberikan fokus kepada mengekalkan rekod bersih di laman sendiri.
Katanya, dia berharap barisan pemain yang diturunkan pada perlawanan menentang Kuching City FC nanti akan memanfaat peluang yang bukan selalu mereka peroleh.
“Pemain perlu sentiasa bersiap sedia untuk diturunkan sebagai kesebelasan utama dan siapa sahaja yang disenaraikan perlu menunjukkan kualiti serta kesungguhan.
“Komitmen penuh daripada para pemain akan membantu pasukan meraih kemenangan pada setiap perlwanan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE