RABAT: Sadio Mane menegaskan, dia tidak pernah bermusuh dengan Mohamed Salah selepas menewaskan bekas rakan sepasukannya di Liverpool itu buat kali ketiga tahun ini.
Semalam, Mane mengetepikan Salah untuk dinobat sebagai Pemain Terbaik Afrika 2022.
Mane memenangi anugerah keduanya selepas menang kali pertama pada 2019 dengan mengetepikan cabaran dua lagi calon akhir, Salah dan penjaga gol Chelsea yang juga rakan senegaranya, Edouard Mendy.
Ia anugerah kedua berturut-turut buat Mane selepas pandemik Covid-19 memaksa majlis berkenaan dibatalkan sejak dua edisi lalu.
Mane dan Salah memainkan peranan penting bersama Liverpool yang merangkul Piala FA dan Piala Liga serta bergelar naib juara Liga Perdana serta Liga Juara-Juara musim lalu.

Pada Februari lalu, Mane membantu Senegal merangkul Piala Negara-Negara Afrika dengan menumpaskan pasukan yang diketuai Salah, Mesir menerusi penentuan sepakan penalti 4-2.
Sebulan selepas itu, Mane sekali lagi mengecewakan Salah apabila Senegal menyingkirkan Mesir dalam playoff kelayakan Piala Dunia 2022.
Penyerang berusia 30 tahun itu meninggalkan Liverpool bulan lalu selepas menandatangani perjanjian tiga tahun bersama Bayern Munich.
“Orang kadang-kadang berkata ada persaingan antara saya dan (Salah) tetapi anda tahu saya tidak melihat diri saya mempunyai saingan dengan mana-mana pemain secara jujur.
“Kami mempunyai hubungan baik, kami menghantar mesej antara satu sama lain. Saya fikir media sentiasa cuba untuk (memburukkan) perkara.

“Anda tahu saya bukan sahaja mempunyai (hubungan) dengan seorang pemain tetapi setiap pemain yang pernah saya mainkan di dunia.
“Anda boleh bertanya kepada sesiapa sahaja yang anda mahu dalam kelab, atau ke mana sahaja saya pergi. Saya mempunyai hubungan baik dengan semua pemain,” katanya.
Kelmarin, Mane memulakan kempen bersama Bayern dengan baik apabila menyempurnakan sepakan penalti, lima minit selepas dibawa masuk ketika membantu gergasi
Jerman itu menang 6-2 ke atas D.C. United dalam aksi pramusim.
“Terima kasih kepada jurulatih, kelab saya, rakan-rakan sepasukan antarabangsa dan rakan-rakan yang sentiasa bersama saya pada saat sukar,” kata Mane. – AGENSI