LISBON: Cristiano Ronaldo kembali ke England semalam dan menuntut untuk meninggalkan Manchester United dalam masa terdekat.
Menurut akhbar The Sun, pemain sensasi berusia 37 tahun itu mahu memulakan rundingan bersama Red Devils bahawa dia tidak akan menerima tawaran perjanjian baharu dengan mereka.
Terdahulu, Ronaldo tidak terlibat dalam jelajah pramusim United ke Thailand dan Australia yang berlangsung atas urusan keluarga.
Skuad Erik ten Hag kini kembali menjalani latihan di Carrington, England sejak semalam.
Ikon Portugal itu mahukan perpindahan tetap supaya dia boleh terus bermain dalam Liga Juara-Juara selepas United hanya menduduki tempat keenam Liga Perdana Inggeris musim lalu.

Sepanjang 19 tahun bergelar pemain profesional, Ronaldo mengharungi karier yang gemilang dan tidak pernah bermain dalam Liga Europa.
United menegaskan Ronaldo tidak akan dijual, ditambah pula dengan bos baharu, Ten Hag mahu mengekalkan penyerang itu di bahagian penting dalam rancangannya untuk musim ini.
Pengurus kelahiran Belanda itu akan cuba meyakinkan Ronaldo untuk menandatangani semula kontrak bersama United bagi perjanjian dua tahun setelah dia menamatkan kontraknya bersama Juventus pada Ogos 2021.
United bersedia menerima perpindahan pinjaman untuk musim akan datang supaya Ronaldo boleh bermain dalam pertandingan kelab teratas Eropah, antaranya dikaitkan dengan Atletico Madrid, biarpun penyokong kelab Sepanyol itu ‘menolak’ kehadirannya.
Begitupun, semua itu mampu menjadi kenyataan dengan syarat dia memberi komitmen selama 12 bulan bersama United. – AGENSI