LONDON: Penyerang Jerman, Alexandra Popp melaungkan keyakinan untuk menjinakkan England yang kini amat bernafsu untuk memburu kejuaraan bola sepak Eropah (Euro) Wanita pertama sejak kejohanan diwujudkan pada 1984.
Ironinya selain menjadi penggempur disegani, Popp juga merupakan penjaga zoo di Tierpark Essehof, dan kudratnya ditagih untuk menjinakkan England yang terkenal dengan julukan singa betina atau Lionesses di Stadium Wembley esok.
Penyerang Wolfsburg itu berjaya membawa Jerman ke final menerusi voli dan tandukan padu ketika menumpaskan Perancis 2-1 di separuh akhir.
Prestasi hebat Popp, 31, meletakkan namanya setanding penyerang England, Beth Mead dengan berkongsi penjaring terbanyak Euro 2022 menerusi enam gol.

Setahun lalu, Popp terlantar di katil gara-gara kecederaan lutut yang serius, namun kini dia bukan sahaja berpeluang menghadiahkan gelaran Eropah kesembilan buat Jerman, malah memenangi anugerah Kasut Emas.
“Saya amat bersyukur dapat berada di sini untuk beraksi dan dalam keadaan amat cergas. Saya ingin berterima kasih kepada semua yang membantu saya mengharungi tempoh sukar.
Completing preparations for Sunday 👊
Watch LIVE as our #Lionesses train ahead of the #WEURO2022 final: https://t.co/Eu0U87sAFW
— Lionesses (@Lionesses) July 30, 2022
“Pasukan perubatan dan jurulatih saya, baik di peringkat kelab atau kebangsaan banyak memberi dorongan dan nasihat. Mereka menaruh kepercayaan terhadap saya dan memberikan saya peluang untuk saya berada di tahap terkini.
“Ini membuatkan saya bangga dan gembira dan kini kami sudah di final.
“Ia kisah yang cukup menakjubkan dan saya harap kami akan mempunyai penamat yang menggembirakan,” kata Popp.

Popp pernah menjaringkan gol di Wembley sebelum ini, ketika Jerman menewaskan England 2-1 dalam aksi perlawanan persahabatan pada 2019.
Dia juga menjaringkan gol dalam satu lagi aksi yang memihak Jerman 3-0 pada 2014.
Popp sebelum ini terlepas kejohanan Eropah 2013 dan 2017 akibat kecederaan sama, namun kini dia bersedia menjadi ‘penjinak singa betina’ dalam penampilan sulung di Euro. – AGENSI