fbpx

Olahraga mengganas di AUG 2022

KUARTERT 4x100m wanita negara di Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 berjaya merangkul pingat emas kesembilan skuad olahraga.

UBON RATCHATHANI: Kem olahraga negara boleh berbangga dalam Sukan Universiti Asean (AUG) 2022 apabila menuai sembilan pingat emas setakat ini, sekali gus menjadi penyumbang tertinggi emas kontinjen negara di Thailand.

Kejayaan meraih sembilan emas walaupun masih ada acara akan berlangsung menyaksikan skuad olahraga telah melepasi sasaran tujuh pingat emas yang ditetapkan kepada mereka oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Pada hari pertama balapan dibuka, skuad olahraga berjaya meraih dua emas iaitu menerusi dua pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Azreen Nabila Alias dalam acara 100 meter (m) wanita dan Kamal Farhan A Rajman (lontar peluru).

Memasuki hari kedua, skuad olahraga berjaya membutirkan tiga emas menerusi Sadat Marzuki Ajisan dalam acara baling tukul besi, Mohamad Ezlan Dahalan (lompat tinggi) dan juga Lukman Hakim Ramlan (lompat jauh).

Pada hari ketiga kelmarin, empat pingat emas lagi berjaya diraih skuad olahraga menerusi Savinder Kour dalam acara 800m wanita, Wan Muhammad Fazri Wan Zahari (800m lelaki), Daren James (3,000m lari berhalangan) dan kuartert 4x100m wanita.

Kuartert 4x100m wanita itu diketuai ratu pecut AUG 2022, Azreen Nabila yang bergandingan dengan Nor Sarah Hadi, M. Darshini dan Nur Aishah Rofina Aling berjaya mencatat masa terpantas 47.18s untuk menewaskan kuartert tuan rumah dan Laos.

Begitupun, hasrat untuk melihat Nor Sarah yang juga merupakan pemenang pingat emas di Sukan SEA Vietnam meraih emas dalam acara lompat bergalah tidak kesampaian selepas dia sekadar berpuas hati meraih perak dengan ketinggian 3.70m.

Pengurus skuad olahraga AUG 2022, Malik Tobias berkata, kesemua atlet menunjukkan semangat juang yang tinggi untuk mengharumkan nama negara pada temasya kali ini sehingga berjaya melepasi sasaran yang ditetapkan.

“Ini merupakan satu elemen kejutan apabila kita lepasi sasaran lebih awal sebelum acara olahraga melabuhkan tirai, sekarang kita sudah dapat sembilan emas dan kami jangka dapat mengutip sekurang-kurangnya dua lagi emas pada hari terakhir.

“Hari pertama kita dapat dua emas dan hari kedua pula tiga emas. Momentum berterusan pada hari ketiga dengan empat emas, semua ini adalah diluar jangkaan namun, segalanya atas usaha atlet itu sendiri yang berjuang habis-habisan,” katanya.

Mengulas kegagalan Nor Sarah meraih emas dalam acara lompat bergalah, Malik yang juga bekas atlet dekatlon negara menjelaskan atlet berkenaan mengalami masalah kesihatan sekali gus menganggu tumpuannya untuk melakukan yang terbaik.

“Pun begitu, dia (Nor Sarah) tetap mempamerkan aksi terpuji di AUG 2022, dia menang perak untuk lompat bergalah dan 100m wanita selain membantu kuartert 4x100m wanita kita menang emas pada temasya kali ini,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN