LEICESTER, England: Darwin Nunez menyerlah dalam penampilan kompetitif pertamanya bersama Liverpool apabila membantu Reds menumpaskan Manchester City 3-1, sekali gus menghadiahkan Perisai Komuniti pertama buat gergasi Liga Perdana Inggeris itu dalam tempoh 16 tahun.
Dalam aksi di Stadium King Power sebentar tadi, Nunez yang menjadi pembelian terbesar Liverpool, bulan lalu menenggelamkan bintang baharu City, Erling Haaland.
Liverpool yang tidak menyenaraikan Nunez dalam kesebelasan utama, bermula lebih garang berbanding City dengan menguasai permainan serta melancarkan asakan bahaya ke gawang lawan.
Rembatan Trent Alexander-Arnold yang menerima hantaran Mohamed Salah meletakkan Reds di depan pada minit ke-21.
Memasuki separuh masa kedua, City memperkemaskan permainan dan mula mengancam pintu gol Liverpool yang diketuai Adrian.
Selepas mengatur beberapa asakan bahaya, skuad The Citzens akhirnya menyamakan kedudukan menerusi pendatang baharu, Julian Alvarez yang dibawa masuk dari bangku simpanan.
Bekas bintang River Plate itu menolak bola menewaskan penjaga gol Liverpool pada minit ke-70 untuk kedudukan 1-1.
Kemasukan Nunez menggantikan Roberto Firmino bagaimanapun kembali menggerakkan jentera serangan Liverpool, malah gol kedua Reds yang disempurnakan Salah menerusi sepakan penalti pada minit ke-83 berpunca daripada tandukan bintang Uruguay itu.
Tandukan Nunez terkena tangan pertahanan City, Ruben Dias, dan selepas merujuk kepada video bantuan pengadil (VAR), Reds dihadiahkan penalti.
Nunez kemudian mencetak nama sebagai penjaring dengan merebahkan badan untuk menanduk gol ketiga Liverpool tiga minit memasuki waktu kecederaan. – AGENSI