PETALING JAYA: Aksi pusingan kedua Piala FA menentang Kuala Lumpur City (KL City) esok bakal menjadi penentu nasib pengendali Selangor FC, Michael Feichtenbeiner.
Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Mohd. Faizal Wahid berkata, nasib pengendali dari Jerman itu telah diputuskan pihak pengurusan selepas Red Giants tewas 2-0 kepada Melaka United kelmarin.
Katanya, kekalahan kepada Melaka sangat mengecewakan penyokong Merah Kuning, dan mengundang desakan ramai agar jurulatih itu dipecat.
“Ada maklumat yang mengatakan pihak pengurusan sudah berbincang selepas kalah kepada Melaka, nasib jurulatih akan ditentukan selepas perlawanan pusingan kedua Piala FA menentang KL City, Jumaat ini.

“Sekarang prestasi pasukan memang tidak boleh diterima, barisan pemain dilihat sudah cukup kuat tetapi perancangan jurulatih yang meragukan. Sudah tiba masanya perubahan dilakukan dalam pasukan bagi mengelak lebih parah.
“Penyokong memang kecewa, sebab itu kita boleh tengok macam-macam komen di media sosial. Saya harap pihak pengurusan bertindak segera, kerana sudah banyak peluang diberikan kepada jurualtih sekarang.
“Sebaiknya ganti Feichtenbeiner dengan pembantunya Mohd. Nidzam Jamil terlebih dahulu untuk redakan keadaan, dia pun ada pengalaman dan mampu bawa Selangor ke arah lebih baik,” kata Mohd. Faizal kepada Utusan Malaysia.
Prestasi Selangor ketika ini mengundang kemarahan penyokong dan kekalahan kepada Melaka kelmarin menjadi malam kemuncak.

Desakan peminat itu ada asasnya selepas pasukan dilihat gagal memberi saingan, setakat ini malah gagal mendakap sebarang kejuaraan ketika dibawah kendalian jurulatih Jerman itu.
Selepas sembilan perlawanan, Selangor berada di kedudukan ketujuh Liga Super dengan 12 mata hasil tiga kemenangan, tiga seri selain tiga kekalahan.
Tinjauan di media sosial mendapati ramai peminat Selangor meluahkan perasaan kecewa dan mahu Pengerusi kelab, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah menstruktur semula pasukan.
“Tukarlah pengurusan Selangor dan pecat jurulatih, sudah bertahun-tahun tiada perubahan. Mereka tidak serius uruskan Selangor,” kata pengguna Facebook, Shahzann Anuar.