MANCHESTER: Penjaga gawang Manchester United, David De Gea tidak mahu kesilapan memalukan musim lalu berulang apabila kempen baharu Liga Perdana Inggeris membuka tirai, bulan depan.
Musim lalu, Red Devils melebarkan kemarau tanpa trofi kepada lima tahun dan gagal layak ke Liga Juara-Juara.
Lebih mengecewakan, United mencatat pungutan mata terburuk dalam Liga Perdana iaitu 58 ketika menamatkan saingan di tangga keenam selepas tewas 12 daripada 38 perlawanan.

“Bagi saya dan sesiapa sahaja, ia musim paling mencabar, kadangkala rasa memalukan, sebahagian perlawanan sangat teruk, bencana.
“Jadi kita perlu belajar daripada musim lalu bahawa ia tidak boleh berlaku lagi kerana ia amat mencabar, menyakitkan berada di sana.
“Kami tidak boleh menang perlawanan dan tewas pula 4-0 atau 5-0, ia tidak boleh diterima.
“Tapi kadangkala anda perlu rasa kesakitan untuk terus bangkit dan melakukannya,” kata penjaga gol Sepanyol itu.
Sementara itu, perancang utama Portugal, Bruno Fernandes tekad memburu kemenangan dalam setiap perlawanan bagi menamatkan penderitaan musim lalu.

Fernandes hanya meledak 10 gol musim lalu berbanding 28 pada kempen sebelum ini.
“Sebagai satu pasukan, kami gagal musim lalu, jadi secara individu sukar untuk berjaya. Saya cuba memperbaiki pasukan tetapi ia musim sukar buat semua orang.
“Sebaik sahaja pasukan bermain dengan baik dan mendapat keputusan baik, itu akan menggembirakan saya dan menjadikan permainan saya lebih baik.
“Saya tahu semua orang mengharapkan begitu banyak daripada saya kerana musim pertama saya menakjubkan dan musim lalu saya hanya menjaringkan 10 gol dan 14 bantuan,” katanya. – AGENSI