KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) optimis mampu melangkah jauh dalam Piala FA selepas menyingkirkan Kedah Darul Aman (KDA) pada pusingan kedua kelmarin, biarpun mengharungi 40 minit permainan dengan 10 pemain.
Pengendali Penyu, Mohd. Nafuzi Zain berkata, kejayaan mengalahkan Sang Kedah menaikkan motivasi pemain apabila menerima kunjungan Kuching City FC di suku akhir, 23 Julai nanti.
“Moral pemain semakin baik dan mereka begitu bersemangat beraksi dalam Piala FA, mungkin tahun ini peluang terbaik Terengganu meneruskan kemaraan sehingga ke perlawanan akhir.
“Tidak dinafikan berdasarkan undian kami memiliki kelebihan di atas kertas tetapi macam-macam boleh terjadi dalam bola sepak terutama di peringkat kalah mati. Jadi kami tidak boleh berasa selesa.
“Pemain-pemain harus meneruskan kerja keras dan saya sendiri memang menyasarkan kami untuk melangkah ke final,” katanya.
Tandukan kemas Mohd. Faiz Nasir pada minit keenam sudah cukup untuk membawa Terengganu mara ke suku akhir dengan mengalahkan Kedah 1-0 biarpun mereka memilih jalan sukar apabila Pape Diakite dibuang gara-gara kekasaran ke atas Ronald Ngah Wanja.