PETALING JAYA: Malaysia dianggap bernasib baik apabila tidak menjadi mangsa belasahan Filipina selepas hanya tewas 0-4 pada aksi Kumpulan A, Piala AFF Wanita di Stadium Memorial Rizal, Manila sebentar tadi.
Ketangkasan penjaga gawang Malayan Tigress, Azurin Mazlan dan palang gol nyata menjadi penyelamat maruah skuad bimbingan Jacob Joseph untuk tidak menerima aib sebagaimana menimpa Singapura yang tewas 0-7 di tangan Filipina.
Turun menentang tuan rumah yang yang masih segar dengan kejayaan layak ke Piala Dunia buat kali pertama, April lalu, Malaysia diasak sebaik wisel perlawanan dibunyikan pengadil perlawanan.
Selepas hampir 30 minit bertahan, gawang Malaysia akhirnya bocor menerusi percubaan dari jarak jauh Sara Kristine Bantan pada minit ke -34.

Gol berpunca dari sepakan voli Bantan yang berjaya memperdayakan Azurin yang dilihat sedikit terkeluar dari posisi sebenar.
Walaupun Azurin berjaya menolak bola keluar namun lantunan kedua bola tersebut bergolek masuk melepasi garisan gol untuk gol pendahuluan tuan rumah.
Dua minit sebelum babak pertama berakhir, Filipina terus selesa selepas Katrina Jacqueline Rivera menjaringkan gol kedua sebelum kedua-dua pasukan beredar ke bilik persalinan.
Babak kedua bersambung tidak banyak perbezaan permainan dipamerkan anak didik Joseph yang dilihat lebih banyak menyepak bola keluar padang selain aksi kelam kabut terus disajikan.
Tiada kawalan bola menyakinkan selain melepaskan rembatan tanpa arah tujuan antara aksi yang disajikan Malayan Tigress dengan permainan lebih banyak dikuasai Filipina.
Tuan rumah yang kini menghuni ranking ke-53 dunia tidak menunggu lama untuk melebarkan kelebihan pada babak kedua selepas Quinley Mirielle Campomanes meledak gol ketiga pada minit ke-47.
Kelebihan tiga gol nyata belum memuaskan hati tuan rumah yang berterusan memburu jaringan bagi menambahkan jaringan dengan Malaysia lebih banyak bertahan dalam kubu sendiri.
Anacki Chabeli Arrieta memastikan kemenangan mutlak buat Filipina selepas menjaringkan gol keempat buat tuan rumah dan keputusan 4-0 itu kekal sehinggalah tamat masa perlawanan.
Ini adalah kekalahan pertama buat Malayan Tigress yang sebelum ini seri tanpa jaringan menentang Singapura dan 1-1 berdepan Indonesia.
Selepas ini, skuad bola sepak wanita negara akan Thailand pada 10 Julao dan menamatkan aksi Kumpulan A menentang Australia selang dua hari kemudian. – UTUSAN ONLINE