LONDON: Jesse Lingard menandatangani kontrak bernilai hampir 200,00 pound (RM1.1 juta) untuk seminggu dengan Nottingham Forest dalam perjanjian mengejut melalui jendela perpindahan musim panas ini.
Pemain antarabangsa England itu yang meninggalkan Manchester United pada penghujung kontraknya membelakangkan West Ham bagi menandatangani Forest selepas lulus ujian perubatan kelmarin dan bakal membuat penampilan sulung dalam perlawanan persahabatan dengan Union Berlin di Jerman pada esok.
Lingard dianggap telah menandatangani perjanjian untuk 12 bulan permulaan malah Forest sebenarnya berharap untuk melanjutkan kontrak itu jika dia mempamerkan aksi cemerlang.
Pemain berusia 29 tahun itu tidak berputus asa bagi memaksa dirinya diterima masuk ke dalam skuad Gareth Southgate untuk terlibat menyertai Piala Dunia di Qatar, selepas dia menjadi tonggak penting dalam perjalanan England ke separuh akhir empat tahun lalu.
Mitliadis Marinakis, anak kepada pemilik Evangelos, menghantar gambar dirinya dan Lingard di laman Twitter miliknya yang memakai baju Forest, baru-baru ini.
The Hammers sedang mempertimbangkan sama ada untuk kembali dengan tawaran yang lebih baik untuk Lingard, dengan bos David Moyes yang juga merupakan peminat besar pemain itu.
Forest telah membelanjakan lebih daripada 70 juta pound (RM 372.8 juta) untuk sembilan pemain serta menandatangani penjaga gol, Dean Henderson secara pinjaman dari United namun pembelian Lingard membawa kempen mereka ke tahap baharu.
Marinakis telah membiayai perbelanjaan musim panas yang besar untuk memastikan Forest berada di senarai teratas malah mereka turut menunjukkan minat terhadap Emmanuel Dennis dari Watford dan Maxwel Cornet dari Burnley. – AGENSI