KUALA NERUS: Terengganu FC adalah pilihan utama untuk mengalahkan Kuching City dalam suku akhir Piala FA malam ini, namun perancangan mereka mampu terjejas dan skuad Penyu dalam bahaya apabila berdepan krisis kecederaan lima tonggak.
Penjaga gol, Mohd. Suhaimi Husin, pemain pertahanan, Shahrul Nizam Roshasni dan bintang tengah, Manuel Ott terpaksa melupakan saingan akibat demam, manakala pemain sayap lincah, Faisal Abdul Halim mengalami kecederaan lutut.
Turut terpaksa disisihkan daripada senarai 18 pemain adalah pertahanan import dari Senegal, Pape Diakite yang digantung perlawanan gara-gara dibuang padang ketika menentang Kedah pada pusingan kedua.
“Status mereka yang mengalami masalah kesihatan untuk diturunkan masih 50-50 dan mungkin terpaksa digantikan dengan pemain lain. Saya harap ia tidak mengganggu rentak permainan Terengganu.
“Tidak dinafikan dengan kelebihan di atas kertas selaku pasukan Liga Super, tekanan lebih terarah kepada TFC berbanding Kuching City dan kami tidak boleh ambil mudah cabaran pihak lawan.
“Selepas tewas kepada Sabah (Selasa), kami tidak mahu terus dikecewakan. Jadi TFC perlu ambil peluang bermain di tempat sendiri dan fokus untuk 90 minit,” kata Ketua Jurulatih Terengganu, Mohd. Nafuzi Zain.
Dalam perkembangan sama, Nafuzi turut mengakui teruja untuk membuat perhitungan dengan mentornya, Irfan Bakti Abu Salim, yang akan berada di bangku simpanan Kuching City.
Katanya, Kuching City membuktikan kemampuan tersendiri meloloskan diri sebagai lapan pasukan terbaik dalam Piala FA dan perlu diberi perhatian untuk pusingan kalah mati ini.

“Tiada perlawanan yang mudah apabila tiba di peringkat suku akhir. Walaupun TFC di Liga Super dan mereka di Liga Premier, peluang adalah sama rata untuk kedua-dua pasukan.
“Hubungan saya dan Irfan Bakti sangat baik di luar padang. Namun untuk 90 minit nanti, kami ada misi tersendiri demi pasukan masing-masing meneruskan kemaraan,” tambah Nafuzi.