SEREMBAN: Pertembungan di antara Negeri Sembilan FC dan Terengganu FC dalam saingan Liga Super malam ini berakhir dengan skuad Rusa melakar kemenangan 2-1.
Beraksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini, perlawanan berlansung rancak dengan kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan ke kubu lawan masing-masing.
Begitupun, tuan rumah terlebih dahulu menemui gol menerusi gol jaringan pemain import mereka, Yasir Armando Pinto Islame pada minit ke-16 hasil gerakan yang dimulakan terlebih dahulu oleh Che Rashid Che Halim.
Terengganu tidak menunggu lama untuk mendapatkan gol penyamaan, hasil jaringan penyerang dan ketua pasukan mereka, Tchetche Hermann Brice Kipre yang menewaskan Ahmad Syihan Hazmi Mohamed di gawang Negeri Sembilan.
Tchetche Kipre kemudian berpeluang untuk menambah gol buat pelawat, namun sepakan percuma yang diambilnya tersasar.

Memasuki separuh masa kedua, perlawanan dilihat lebih banyak dikuasai Negeri Sembilan dan hasilnya mereka memperoleh gol menerusi Gustavo Almeida Dos Santos pada minit ke-51.
Penyerang dari Brazil itu mengambil kesempatan di atas kesilapan penjaga gol Terengganu, Muhammad Rahadiazli Rahalim yang gagal menangkap kemas bola hasil hantaran silang Che Rashid.
Skuad Penyu kemudian meningkatkan serangan mereka bagi mencari gol penyamaan, namun tuan rumah kental bertahan.
Sehingga tamat perlawanan, keputusan kekal 2-1 sekali gus menyaksikan Negeri Sembilan berjaya meraih tiga mata.
Selepas mengharungi 13 perlawanan, Negeri Sembilan kini mengumpul 23 mata dan kedudukan ketiga liga manakala Terengganu kekal dengan 16 mata selepas 11 perlawanan. – UTUSAN ONLINE