UBON RATCHATHANI, Thailand: Skuad karate negara menutup tirai di Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 dengan pencapaian cemerlang apabila berjaya membawa pulang enam pingat emas.
Selain itu, skuad karate juga berjaya membawa tujuh pingat perak dan empat gangsa sekali gus melepas sasaran yang ditetapkan untuk sukan berkenaan iaitu empat pingat emas.
Saingan hari pertama menyaksikan skuad karate meraih tiga emas melalui pasukan kata lelaki, C. Shahmalarani (kumite wanita bawah 50 kilogram) dan P. Madhuri (kumite wanita bawah 55kg).
Kecemerlangan itu diteruskan pada hari kedua dengan tiga lagi emas menerusi Siti Nur Azwani Nor Azli (kumite wanita -61kg), Sureeya Sankar Hari Sankar (kumite lelaki bawah 67kg) dan A. Denisroy (kumite lelaki atas 84kg).
Begitupun, hasrat skuad karate untuk menambah dua lagi emas pada hari terakhir dalam acara kumite berpasukan lelaki dan wanita tidak kesampaian apabila sekadar meraih perak selepas tewas kepada Indonesia di pentas final.
Menurut pengurus pasukan, Mohd. Aniq Hilman abdul Mutalip, barisan atlet negara pada kali ini sememangnya tampil dengan lebih kemas untuk meraih lebih banyak kejayaan berbanding edisi 2018 di Myanmar.
Katanya, walaupun mendapat tentangan sengit daripada wakil tuan rumah dan Indonesia namun mereka tetap konsisten untuk memastikan mampu membawa pulang enam emas buat negara.
“Ada cara yang dilihat kita agak sukar untuk meraih pingat di Myanmar namun, edisi 2022 atlet tampil lebih menyakinkan sekali gus mampu melepasi sasaran empat emas.
“Kejayaan ini juga membuktikan segala keras atlet dalam sesi latihan sebelum ini sangat berbaloi dan membuahkan hasil,” katanya ketika ditemui pemberita.
Kejayaan membanggakan skuad karate pada temasya kali ini memperbaiki pencapaian edisi 2018 di Nay Pyi Daw, Myanmar (empat emas, tiga perak, empat gangsa) dan edisi 2014 di Palembang, Indonesia (lima emas, tiga perak dan enam gangsa). – UTUSAN ONLINE