TURIN: Juventus dilaporkan sedang menyediakan bidaan kedua untuk penyerang Liverpool, Roberto Firmino selepas tawaran pertama mereka ditolak Reds.
Bintang Brazil itu antara tonggak utama kebangkitan Liverpool selepas ditandatangani pada 2015 iaitu sebulan sebelum Jurgen Klopp dilantik sebagai pengurus The Reds.
Sepanjang bersama Liverpool, Firmino,30, berjaya memenangi Liga Juara-Juara Eropah 2019 sebelum menamatkan kemarau kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) setahun kemudian.

Kini dia memasuki tahun terakhir kontraknya di Merseyside dan kelibatnya sering tercicir susulan ketibaan Diogo Jota, Luis Diaz serta Darwin Nunez.
Gandingan tiga serangkai antara Firmino, Sadio Mane dan Mohamed Salah di barisan depan Liverpool ternyata cukup berbisa sejak beberapa tahun lalu.
Salah telah menandatangani kontrak baharu di Anfield dan jika Firmino memilih untuk keluar, Klopp terpaksa mencari penggantinya.
Media Itali melaporkan Juventus membuat tawaran rasmi sebelum ini 19.5 juta pound (RM105 juta) tetapi ditolak Liverpool.
Sementara itu, Ben Davies melanjutkan kontrak dengan Tottenham sehingga 2025 dan telah melakukan 271 penampilan bersama kelab itu dalam kesemua kejohanan sejak menyarung jersi kelab itu pada 2014.
Davies akan melalui musim keenamnya bersama Spurs selepas kelab London itu yang turut menandatangani Richarlison, Yves Bissouma dan Ivan Perisic sebagai sebahagian daripada enam pemain baharu mereka menjelang musim baru ini.
“Saya gembira untuk menandatangani kontrak baru. Selepas kempen musim lalu yang dilalui bersama kelab ini, lebih banyak keterujaan untuk terus berada bersama Spurs,” katanya.- AGENSI