PETALING JAYA : Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad mendedahkan Kuala Lumpur City (KL City) hanya dibenarkan menggunakan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras untuk aksi perlawanan sahaja dan bukannya bagi tujuan latihan.
“Kita pasukan juara Piala Malaysia tetapi kita tidak ada stadium. Stadium disewakan kepada orang lain, kononnya pemegang taruh namun sebenarnya bukan.
“Ketiadaan stadium menimbulkan masalah kepada latihan yang ketika ini dilakukan di Padang Pudu Ulu.
“Semua pertandingan bagi Liga Super dan Piala Malaysia kita dibenarkan guna stadium tersebut termasuklah kutipan tiket kehadiran penonton pada setiap perlawanan membabitkan pasukan.
“Latihan pasukan kita buat di Padang Ulu Pudu, Cheras. Saya dapat pesanan dari Ketua Jurulatih KL City, Bojan Hodak yang membuat aduan pasukannya tidak dapat menjalani latihan di stadium Cheras dan kita terpaksa melakukannya di padang Pudu Ulu,” katanya pada sidang media di pejabat KLFA, semalam.
Jelasnya, keadaan padang yang tidak berkualiti menyaksikan pemain-pemain berisiko tinggi untuk mendapat kecederaan.
“Keadaan padang latihan agak keras dan banyak mendatangkan kecederaan kepada pemain, baru-baru ini Paulo Josue turut mengalami kecederaan semasa latihan dan ia semakin serius pada aksi menentang Selangor dalam saingan Piala FA.
“Jadi kita terpaksa keluarkan Josue dan kita kalah kepada Selangor tanpa adanya Paulo dan J Partiban, semua ada kecederaan oleh kerana tempat latihan tidak yang seperti mana yang sepatutnya.
“Hodak dan banyak kali buat aduan, saya tak boleh buat apa-apa, terlalu banyak sangat kekangan tetapi Alhamdulillah pasukan berjaya membuktikannya dengan keputusan.
“Ini prestasi terbaik selama 32 tahun tetapi layanan terburuk sepanjang sejarah. Paling penting kita nak naikkan pasukan,” ujarnya.
Tambahannya, KLFA berterima kasih kerana DBKL hendak kaji balik pajakan dan saya menyeru serta merayu supaya KLFA mahupun KL City FC dibenarkan untuk menjaga stadium
Stadium KLFA yang telah menjalani proses penyelenggaraan dan naik taraf bermula 2013 hingga 2018 memiliki keupayaan 18,000 hingga 20,000 kapasiti penonton.
Stadium ini digunakan pasukan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa pasukan lain.










