PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedia memindahkan Harimau Malaya ke stadium lebih ‘comel’ jika Stadium Nasional, Bukit Jalil (SNBJ) tidak bersedia digunakan untuk Piala Persekutuan Bolasepak Asean (AFF), November ini.
Ketika ini, Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras dilihat alternatif terbaik untuk menjadi ‘rumah’ skuad kebangsaan biarpun hanya mampu menampung 20,000 penonton.
Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, Mohd. Firdaus Mohamed berkata, SNBJ masih menjadi pilihan utama, namun semuanya bergantung kepada sejauh mana keadaan padang stadium itu menjelang kejohanan itu.
“Difahamkan pihak Stadium Perbadanan Malaysia (PSM) ketika ini berusaha memastikan padang di Bukit Jalil boleh digunakan.
“Saya dapat maklumat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), tiada halangan SNBJ dijadikan venue buat Harimau Malaya.
“Kita juga mempunyai alternatif Stadium Cheras dan difahamkan AFC akan mengadakan lawatan ke stadium berkenaan bersama syarikat yang ditugaskan menjaga stadium.

“Pada dasarnya jika SNBJ belum bersedia untuk Piala AFF, Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur bakal menjadi rumah kedua Harimau Malaya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, isu rumput dan air bertakung ketika kempen Kelayakan Piala Asia 2023 yang berlangsung di Bukit Jalil, bulan lalu mendapat kecaman.
Keadaan itu menyaksikan keputusan drastik diambil dengan penutupan SNBJ bermula 15 Jun bagi kerja baikpulih sehingga penghujung Mac 2023.
Saingan Piala AFF akan kembali menggunakan format lama dengan empat aksi peringkat kumpulan akan dilangsungkan secara home dan away bakal menyaksikan dua perlawanan skuad Harimau Malaya dilangsungkan di depan penyokong sendiri.