LONDON: Keinginan tinggi Cristiano Ronaldo untuk meninggalkan Manchester United pada musim panas ini turut didorong oleh teman wanitanya Georgina Rodriguez, menurut laporan di Sepanyol.
Ronaldo telah memberitahu United, dia enggan memenuhi baki 12 bulan kontraknya dan mahukan perpindahan pada musim panas.
Pemain berusia 37 tahun itu tidak berpuas hati dengan kegagalan United melayakkan diri ke Liga Juara-Juara dan dengan usaha mereka membawa masuk pemain bagi memperkuatkan skuad.
Penyerang Portugal itu tidak menyertai skuad kendalian Erik ten Hag dalam jelajah pramusim ke Thailand dan Australia atas sebab keluarga.
Begitupun, bukan Ronaldo sahaja yang mahu keluar dari Manchester, malah akhbar Sepanyol, Diario Sport mendedahkan, Georgina mahu kembali ke Sepanyol dengan Madrid destinasi pilihan.
Sepanjang beraksi bersama Manchester, Ronaldo dan keluarganya tinggal di England, namun kini dia menghabiskan masa di Lisbon untuk menjalani latihan sendiri di rumah.
Ronaldo, 37, mahu meninggalkan Red Devils bagi bersaing merebut trofi lebih besar dalam peringkat akhir kariernya.
Georgina dan Cristiano bertemu di ibu kota Sepanyol itu pada 2016, ketika penyerang itu mewakili Real.– AGENSI