MANCHESTER: Pertahanan Sweden, Linda Sembrant tidak sabar untuk mencabar tuan rumah, England pada separuh akhir Kejohanan Eropah (Euro) Wanita selepas meledak gol kemenangan pada waktu kecederaan ketika menyingkirkan Belgium 1-0 semalam.
Kemenangan itu menghidupkan peluang Sweden untuk merampas kembali kejuaraan bola sepak wanita Eropah yang kali pertama dan terakhir dimenangi pada 1984.
Menghuni ranking kedua dunia ketika ini, Sweden begitu hampir dengan beberapa gelaran utama, namun menutup kempen selaku naib juara.
Pasukan itu memenangi pingat perak dalam dua edisi terakhir Sukan Olimpik, muncul naib juara Piala Dunia 2003 dan kini akan bertemu England yang dianggap pilihan untuk merangkul kejuaraan di laman sendiri.

“Ia perlawanan yang sangat besar (menentang) England, dengan penonton yang ramai dan kehadiran penyokong Sweden sendiri ke stadium. Ia akan menjadi sangat hebat.
“Ia amat menyakitkan dan perasaan yang tidak dapat digambarkan melihat bola menembusi gawang, jadi kami tidak akan membenarkan perkara itu berlaku,” kata Sembrant.
Segala-galanya tidak memihak kepada Sweden sejak awal, dengan pertahanan pilihan pertama, Hannah Glas serta Jonna Andersson terpaksa direhatkan gara-gara positif Covid-19.

Sweden juga mendapati jaringan Stina Blackstenius dibatalkan oleh video bantuan pengadil (VAR) kerana ofsaid, selain bergelut untuk menembusi pintu gol lawan sehinggalah Sembrant meledak gol kemenangan dua minit memasuki waktu kecederaan.
“England menunjukkan prestasi yang sangat baik sepanjang kejohanan walaupun mereka mempunyai sedikit masalah dengan Austria.
“Menentang England pada separuh akhir di England adalah pengalaman hebat,” kata jurulatih Sweden, Peter Gerhardsson.
Sweden akan menentang England di Sheffield, Rabu ini selepas melancarkan 34 percubaan ke pintu gol Belgium. – AGENSI