LONDON: Ibu kepada dua anak, Tatjana Maria meneruskan perjalanan ‘gila’ di Wimbledon apabila mara ke separuh akhir buat kali pertama dengan menyingkirkan rakan senegara, Jule Niemeier 4-6, 6-2, 7-5 semalam.
Kemenangan dalam masa dua jam dan 17 minit itu bakal menemukan bintang tenis Jerman tersebut dengan pemain yang disifatkan sebagai ‘rakan barbeku’ iaitu pilihan ketiga dari Tunisia, Ons Jabeur hari ini.
Baru melahirkan anak bongsunya, Cecilia, April lalu, Maria, 34, layak ke separuh akhir Grand Slam buat kali pertama dalam penampilan ke-35.

“Kejayaan ini tidak berubah diri saya. Maksud saya, di luar gelanggang tiada apa yang berubah buat seketika, walaupun saya bermain di separuh akhir.
“Saya rasa itu yang paling penting dalam hidup, menjadi ibu kepada dua anak saya.
“Ya, saya berada di separuh akhir Wimbledon, ia gila tetapi saya masih seorang ibu,” kata Maria.

Berjaya melangkah ke separuh akhir Wimbledon juga amat istimewa buat Jabeur, yang memahat sejarah sebagai wanita Arab pertama melangkah ke peringkat empat terbaik Grand Slam.
Selepas mara ke suku akhir 2021, pemain berusia 27 tahun itu memperbaiki pencapaiannya dengan menyingkirkan Marie Bouzkova dari Republik Czech 3-6, 6-1, 6-1.
“Ia amat bermakna. Saya berharap saya boleh sampai ke peringkat ini untuk masa yang lama.
“Saya ada bercakap sedikit dengan (bekas pemain Maghribi) Hicham Arazi, dan dia memberitahu saya, ‘pemain Arab sering kalah di suku akhir dan kami muak dengannya. Tolong pecahkan badi ini.’
“Saya beritahunya, saya akan cuba, kawan,” kata bintang No. 2 dunia itu. – AGENSI