Asraff selamatkan Kelantan United

Asraff selamatkan Kelantan United

AKSI pemain Kelantan United (jersi merah) ketika menentang skuad Projek FAM-MSN, petang tadi. - IHSAN KELANTAN UNITED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kelantan United gagal memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri apabila sekadar seri 1-1 dengan skuad Projek FAM-MSN pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini hari ini.

Kelekaan tuan rumah dihukum seawal minit ketujuh apabila pemain pertahanan, Shuhei Fukai tertanduk bola ke gawang sendiri untuk menghadiahkan gol pembukaan kepada Skuad Projek FAM-MSN.

Gol menyaksikan tuan rumah bagaikan hilang fokus sehingga kerap melakukan kesilapan ketika ghairah untuk mendapatkan jaringan penyamaan.

Kemasukan Njoku Jacob menggantikan Mohamad Khairul Rizam Che Soh pada minit ke-25 berjaya menyuntik nafas baharu namun dihampakan oleh ketumpulan jentera penyudah.

Tuan rumah bagaikan mendapat peluang untuk menyamakan kedudukan apabila dihadiahkan sepakan percuma selepas Nik Akif Syahiran Nik Mat dikasari tetapi gagal dimanfaatkan Jacob apabila sepakannya sedikit tinggi melepasi palang gol pelawat.

Jacob sekali lagi hampir berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-43 apabila percubaannya dari luar kotak penalti juga sedikit melepasi palang gol.

Kem tuan rumah terus berdepan kebuntuan untuk mencari gol dan kedudukan kekal 0-1 sehingga tamat separuh masa pertama.

Bermula babak kedua, pelawat tidak menunggu lama untuk mengatur serangan untuk menambah gol kedua, namun tuan rumah yang mendapat peluang keemasan menyamakan kedudukan apabila dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-50.

Bagaimanapun Jacob mensia-siakan peluang apabila menyepak lemah dan memudahkan tugas penjaga gawang pelawat, Aizat Aiman Mazlan menepis bola keluar.

Kelantan United akhirnya berjaya menyamakan kedudukan apabila  Muhammad Asraff Aliffuddin Yasin memanfaatkan peluang terhidang di hadapan pintu gol Projek FAM-MSN.

Kedua-dua pasukan terus berusaha mencari gol kemenangan dan menuju minit-minit akhir perlawanan, KUFC bersepan situasi genting apabila pemain pertahanannya, Muhammad Haziq Mohd. Subri diperintah keluar padang setelah menerima kad kuning kedua.

Tuan rumah, bagaimanapun terus kental bertahan dan kedua-dua pasukan terus kebuntuan mencari gol kemenangan dan terikat seri 1-1 sehingga ke tiupan wisel penamat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya