Zverev sokong Nadal rangkul gelaran ke-14

Zverev sokong Nadal rangkul gelaran ke-14

ALEXANDER Zverev (kanan) terbaring selepas mengalami kecederaan ketika menentang Rafael Nadal pada separuh akhir Terbuka Perancis di Paris semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Alexander Zverev menyokong Rafael Nadal untuk menjuarai Terbuka Perancis buat kali ke-14 selepas kece­deraan pergelangan kaki memaksanya menarik diri ketika menentang jaguh Sepanyol itu di separuh akhir semalam.

Pemain No. 3 dunia dari Jerman itu menggambarkan kecederaan yang dialami ‘sangat serius’ selepas terpaksa ditolak dari gelanggang Philippe Chatrier menggunakan kerusi roda ­ketika ketinggalan 6-7 (8/10), 6-6 berdepan juara Grand Slam 21 kali itu.

“Saat yang sangat sukar untuk saya di gelanggang hari ini, jelas perlawanan yang hebat sehingga apa yang berlaku.

“Saya mengalami kecede­raan sangat serius tetapi pasukan perubatan dan doktor masih memeriksa dan kami akan memaklumkan kepada anda maklumat terkini,” kata Zverev dalam video yang disiarkan di Twitter Terbuka Perancis.

KAKI Alexander Zverev terkehel ketika menentang Rafael Nadal.

Zverev dan Nadal telah ­bertarung sengit selama tiga jam 13 minit sebelum kecederaan pemain berusia 25 tahun tersebut berlaku.

Selepas menerima rawatan di gelanggang, Zverev dibawa masuk ke bilik persalinan sebelum kembali bertongkat untuk mengesahkan penarikan diri dan menerima pelukan daripada lawannya.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Rafa. Sungguh luar biasa melihatnya berada dalam pemburuan gelaran ke-14.

“Saya yakin dia akan menang dan memahat sejarah, mungkin lebih banyak sejarah.

“Begitupun, ia bukan momen yang mudah untuk saya hari ini,” kata­nya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN