Zinchenko menangis minta perang dihentikan

Zinchenko menangis minta perang dihentikan

Zinchenko tidak mampu menahan sebak ketika bercakap mengenai perang di Ukraine dalam sidang akhbar menjelang playoff Piala Dunia menentang Scotland di Glasgow semalam. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GLASGOW: Kapten Ukraine, Oleksandr Zinchenko menangis ketika memperkatakan mengenai perang yang sedang berlaku di negaranya menjelang separuh akhir playoff Piala Dunia bertemu Scotland awal pagi tadi.

Pertahanan Manchester City itu mengetuai pasukannya dalam aksi di Hampden Park, yang mana pemenang akan bertemu Wales pada final playoff, Ahad ini.

Begitupun peristiwa ‘ngeri’ di luar padang, menyebabkan Zinchenko menitiskan air mata dalam sidang akhbar semalam.

“Semua rakyat Ukraine hanya mahukan satu perkara – hentikan perang!

“Saya ada berbual dengan beberapa kanak-kanak yang tidak faham tentang apa yang berlaku di negara mereka, namun mereka hanya ada satu impian, mahu perang ini tamat.

“Mereka juga mempunyai satu lagi impian, untuk terlibat dalam Piala Dunia,” kata Zinchenko seperti yang dilaporkan oleh Zorya Londonsk.

Perang di Ukraine tercetus sejak Februari lalu apabila Presi­den Russia, Vladimir Putin menghantar tenteranya ke negara itu.

Setelah memenangi Liga Perdana Inggeris bersama City hujung bulan lalu, Zinchenko memegang bendera Ukraine rapat di dadanya sebelum menangis di hadapan penyokong setia The Citizens.

“Perasaan yang sukar dilupakan pada waktu itu. Buat semua rakyat Ukraine yang sedang berlapar dan masih hidup di negara saya disebabkan pencerobohan Russia.

“Saya bangga menjadi rakyat Ukraine dan suatu hari nanti saya mahu membawa Piala ­Dunia ke negara tercinta kerana kami memang layak mene­rimanya,” katanya.

Zinchenko turut menjelaskan, awalnya dia memang tidak memikirkan langsung mengenai bola sepak semasa peperangan itu berlaku.

“Amat mustahil untuk mene­ruskan hidup namun pada masa sama melupakan peperangan yang sedang terjadi di negara saya.

“Begitupun dengan semua sokongan yang saya ada, kami berjaya lakukannya,” kata­nya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN