PETALING JAYA: Meninggalkan Kuala Lumpur City (KL City) awal tahun ini kerana enggan mengambil vaksin Covid-19, Daniel Ting akhirnya sanggup mengambil suntikan untuk membolehkannya menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT).
Situasi tonggak pertahanan berdarah England-Malaysia itu yang diumumkan sebagai rekrut terbaharu Harimau Selatan, Isnin lalu turut menarik perhatian bekas jurulatihnya di KL City, Bojan Hodak.
Ketika ditanya mengenai pemain berusia 29 tahun itu yang bersetuju mengambil vaksin seperti yang disahkan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Hodak mengucapkan tahniah kepadanya.

“Saya gembira Daniel Ting akhirnya mengambil vaksin dan kembali (ke Malaysia).
“Saya juga gembira dia terima gaji tiga kali ganda di Johor.
“Saya rasa ini situasi di mana anda tidak boleh bersaing, saya ucapkan selamat mahu jaya kepadanya.
“Dia seorang pemain yang baik dan beraksi bagus bersama kami. Saya mengucapkan terima kasih dan semoga berjaya,” kata Hodak dalam sidang akhbar semalam menjelang perlawanan Piala AFC menentang Tampines Rovers hari ini.
Pada Mac lalu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad mendedahkan, Daniel meninggalkan KL City dan kembali ke United Kingdom (UK) kerana enggan mengambil suntikan vaksin.
Sementara itu, mengenai pertemuan dengan wakil Singapura, Tampines hari ini, Hodak berkata, The City Boys turun dengan corak menyerang bagi mencari kemenangan selepas diikat 0-0 dalam aksi pembukaan menentang PSM Makassar, Jumaat lalu.
Kata Hodak, pasukannya perlu mencari lebih daripada dua gol bagi memburu slot ke peringkat kalah mati selaku juara Kumpulan H, namun pertemuan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras itu tidak semudah disangka.
“Kami sentiasa menyerang, bergantung kepada penyerang untuk jaringkan gol atau tidak.
“Tiada tekanan. Satu perkara dalam hidup, suatu hari nanti kita pasti akan mati. Saya beritahu pemain, turun ke padang dan cuba pamerkan aksi terbaik.
“Jika kami berjaya mempamer aksi terbaik, keputusan yang dimahukan pasti akan hadir,” katanya. – UTUSAN