PARIS: Pemain No.1 dunia, Iga Swiatek terselamat daripada menjadi mangsa kejutan bintang remaja China, Zheng Qinwen apabila mara ke suku akhir tenis Terbuka Perancis semalam.
Beraksi cemerlang di awal perlawanan, prestasi Qinwen mula mengendur menuju ke dua set berikutnya sebelum tumbang 7-6 (7/5), 0-6, 2-6.
Baru berusia 19 tahun, Qinwen kemudian mendedahkan ‘masalah perempuan’ punca di sebalik kegagalannya meneruskan rentak cemerlang di Roland Garros dan mengakui terpaksa ‘bertarung’ dengan kitaran haid.
“Ia hanya masalah perempuan, anda faham sahaja. Hari pertama selalunya amat sukar dan saya pula perlu bersukan.
“Saya sering mengalami sakit yang teruk pada hari pertama, memang tidak boleh melawan perkara semua jadi.
“Saya harap saya boleh menjadi seorang lelaki di gelanggang tetapi malangnya tidak boleh.
“Pada saat itu saya benar-benar berharap boleh menjadi lelaki di mana saya tidak perlu menderita, ia sukar,” kata Qinwen yang menghuni ranking ke-74 dunia.

Qinwen mengambil masa untuk mendapatkan rawatan ketika ketinggalan 0-3 di set kedua sebelum pergi ke bilik persalinan dan kembali dengan paha berbalut.
Rawatan yang dilakukan bagaimanapun tidak banyak membantunya kerana dia kemudian keciciran lapan mata berturut-turut.
Sementara itu, Swiatek tidak tewas sejak Februari lalu dan melebarkan rekod 32 kemenangan berturut-turut, paling lama dalam jelajah tenis wanita sejak Serena Williams meraih 34 kemenangan pada 2013.
Bintang Poland itu akan menentang pilihan ke-11 dari Amerika, Jessica Pegula dalam kelompok lapan terakhir. – AGENSI