LONDON: Baru sahaja kehilangan Sadio Mane kepada Bayern Munich, Liverpool dijangka melepaskan penyerang sensasinya, Mohamed Salah pada musim panas ini.
Pemilik kelab, FSG mungkin membuat kejutan menjual bintang Mesir itu jika mendapat tawaran sekitar 60 juta pound (RM324 juta).
Gergasi bola sepak Sepanyol, Real Madrid antara kelab yang mengikuti rapat situasi Salah.
Mane berhijrah ke Bayern dengan nilai 35 juta pound (RM189.07 juta) minggu ini.

Reds sudah membawa masuk penyerang Uruguay, Darwin Nunez dengan harga 85 juta pound (RM457.44 juta) sebagai pengganti Mane.
Situasi Salah, 30, hampir sama dengan Mane, yang mana dia boleh meninggalkan Anfield secara percuma musim panas tahun depan.
Selepas hampir setahun berunding, Liverpool masih buntu untuk memenuhi tuntutan gaji 400,000 pound (RM2.16 juta) pound seminggu yang diminta penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris (EPL) itu sebagai syarat menandatangani kontrak baharu.

Reds pasti mahu mengekalkan Salah tetapi mereka perlu mengubah struktur gaji bagi mengekalkannya di Anfield.
Salah menerima bawah 240,000 pound (RM1.29 juta) seminggu berbanding gaji termahal buat Virgil van Dijk dan mendakwa dia tidak mahu wang yang ‘gila’ untuk kekal.
Real memerhatikan perkembangan itu dan boleh menawarkan perjanjian lumayan walaupun wujud pertelingkahan antara Salah dan bintang Real selepas dua aksi final Liga Juara-Juara sejak lima tahun lalu.
Bos Los Blancos, Carlo Ancelotti sebelum ini percaya penyerang Perancis, Kylian Mbappe akan menyertai mereka tetapi pemain itu memilih untuk menyambung kontrak bersama Paris Saint-Germain. – AGENSI