SEVILLE: Fernando Santos mempertahankan tindakan meletakkan Cristiano Ronaldo di bangku simpanan dan menyifatkan Portugal meraih ‘keputusan menarik’ ketika mengikat Sepanyol 1-1 dalam aksi pembukaan Liga Negara-Negara UEFA semalam.
Alvaro Morata membuka jaringan Sepanyol pada minit ke-25 untuk gol yang ke-26 (semua pertandingan) buat skuad kebangsaan, sekali gus muncul penjaring ketujuh terbanyak La Roja.
Portugal membawa masuk Ronaldo pada minit ke-60, namun rakan sepasukannya, Ricardo Horta muncul wira dengan meledak gol penyamaan, lapan minit sebelum tamat permainan.
Santos kemudian mempertahankan keputusan menamakan Ronaldo sebagai gantian sambil memuji prestasi pasukannya.

“Keputusan berbeza dibuat setiap perlawanan, ia bergantung kepada keperluan ketika itu.
“Pada masa ini, inilah barisan yang kami perlukan. Ia nampak satu penyelesaian terbaik melihat daripada segi kerja dan situasi di dalam padang.
“Apa yang penting, kami sentiasa mempunyai Cristiano apabila saya perlu membawanya ke padang. Itu perkara biasa,” katanya.
Portugal akan menerima kunjungan Switzerland, Ahad ini dalam aksi kedua Kumpulan A2.
Sepanyol pula bakal bertandang ke Republik Czech pada hari yang sama.
Semalam, Czech membuka kempen dengan menewaskan Switzerland 2-1. – AGENSI