PARIS: Casper Ruud mengakui, lawannya pada final Terbuka Perancis, Rafael Nadal adalah pemain yang amat sempurna selain menjadi idola sepanjang hidupnya.
Bintang tenis Norway berusia 23 tahun itu ketinggalan satu set ketika menentang jaguh Croatia, Marin Cilic pada separuh akhir Grand Slam pertamanya tetapi bangkit untuk menang 3-6, 6-4, 6-2, 6-2.
Ini kali pertama Ruud akan menentang bekas pemain No. 1 dunia itu dalam pentas akhir Grand Slam pertamanya.
“Saya memandang tinggi kepada Nadal, pemain yang akan saya tentang dalam final, dan dia tidak pernah merungut. Dia adalah contoh sempurna tentang bagaimana anda harus berkelakuan di gelanggang.
“Dia tidak pernah berputus asa dan tidak pernah mengeluh jadi dia adalah idola saya sepanjang hidup saya,” kata Ruud.
Sementara itu, Nadal berada di landasan untuk memburu kejuaraan Terbuka Perancis ke-14 selepas lawannya dari Jerman, Alexander Zverev menarik diri akibat kecederaan pergelangan kaki kanan di Roland Garros.
Jaguh Sepanyol yang terkenal dengan julukan ‘Raja Gelanggang Tanah Liat’ itu akan bermain dalam final Grand Slam ke-30.
Nadal sedang mendahului 7-6 (10/8), 6-6 sebelum juara Olimpik dari Jerman, Zverev terpaksa menarik diri.

“Sangat sedih untuknya, saya tahu betapa dia berjuang hendak memenangi Grand Slam. Ketika ini, dia sangat malang. Saya pasti dia akan menang lebih daripada satu dan saya mendoakan yang terbaik untuknya.
“Ia adalah perlawanan yang sukar, lebih tiga jam kami bertarung sebelum menamatkan set kedua.
“Ia cabaran besar apabila dia bermain di tahap yang tinggi. Sukar untuk menjelaskan banyak perkara dalam situasi ini,” kata Nadal. – AGENSI.