Keseronokan berlatih sukan tempur menjadi titik tolak buat atlet muay thai negara, Wassof Rumijam, 21, mencipta nama dalam bidang ini.
Dia yang lebih mesra disapa Wassof, mula berjinak dalam sukan tempur sejak di bangku sekolah ketika mengikuti abang sulungnya berlatih.
Lalu, selesai sahaja menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia tekad untuk fokus kepada sukan itu sehingga menjadikannya sebagai kerjaya sepenuh masa.
Keputusannya itu ternyata tepat. Dia bukan sahaja berjaya mengumpul empat pingat emas kebangsaan dan dua pingat emas bagi kategori 48-51 kilogram (kg) dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 dan 2024, malah mencatat sejarah tersendiri apabila diberi peluang beraksi di Stadium Rajadamnern yang merupakan gelanggang Muay Thai berprestij di Thailand.
Selain meraih gangsa di Sukan SEA 2023, dia juga muncul sebagai pemegang pingat emas dalam Kejohanan Muaythai Asia (IFMA), Jun lalu di Vietnam.
“Walaupun terpaksa bertanding dalam kategori bukan berat saya, saya bersyukur menang dengan mata bersih 3-0 dalam perlawanan akhir,” katanya berkenaan IFMA tahun ini.
“Kalau cakap tentang harapan akan datang, saya ingin memiliki tali pinggang bertaraf dunia iaitu tali pinggang Stadium Rajadamnern di Thailand,” katanya lagi.

PATAH TULANG RUSUK
Sepanjang berkecimpung dalam dunia muay thai, pengalaman Sukan SEA 2023 di Kemboja menjadi detik yang tidak mungkin dilupakan.
Atlet itu mengalami kecederaan patah tulang rusuk di pusingan kedua pada perlawanan suku akhir menentang atlet tuan rumah.
Namun, dengan semangat pantang menyerah, Wassof meneruskan aksi hingga tamat pusingan ketiga sebelum tewas dengan kiraan mata.
Pengalaman getir itu jelas menyerlahkan tekadnya yang tidak pernah luntur.
Ia hadir bersama ketekunan dan disiplin yang tinggi.
Rutin hariannya kini lebih padat dengan latihan enam hari seminggu sebanyak dua kali sehari, melibatkan waktu pagi dan malam.
Hari Selasa dan Rabu diperuntukkan untuk latihan kekuatan dan conditioning, manakala hari-hari lain fokus kepada teknik serta perancangan perlawanan.
Hujung minggu pula, Wassof memanfaatkan paginya dengan joging sejauh 15 kilometer sebagai senaman kardio dalam jarak jauh.
Ditanya tentang sumber inspirasi, dia menjadikan bintang muay thai seperti Tawanchai PK Saenchai, Superlek Kiatmuu9 dan Saenchai sebagai sumber inspirasi dalam perjalanan kerjayanya.
PERSIAPAN SUKAN SEA 2025
Pengumuman Skuad muay thai negara untuk Sukan SEA 2025 yang dibuat menerusi platform media sosial baru-baru ini menitip khabar gembira buat Wassof.
Anak kelahiran Shah Alam, Selangor ini antara yang tersenarai dalam Kategori A Kombat muay thai bersama 12 orang rakan atlet seperjuangan.
Bersempena temasya dwitahunan itu, dia kini memberi tumpuan penuh kepada persediaan mental dan fizikal.
“Saya akan sertai satu kem latihan intensif di Thailand bermula hujung bulan ini bersama atlet-atlet muay thai yang lain.
“Saya akan bermain untuk kategori 51-54 kg dan sasaran saya tidak lain tidak bukan, pingat emas untuk negara. Saya akan cuba yang terbaik,” katanya.
Menurut Wassof, pencabar terkuat sudah pastinya atlet tuan rumah kerana acara itu merupakan sukan tradisi mereka.
Turut membawa cabaran negara nanti adalah adik bongsunya, Insyad Rumijam, 19, dalam kategori Kickboxing lowkick 51kg.
Wassof turut menitipkan nasihat kepada yang ingin menceburi sukan tempur.
“Boleh sertai tanpa rasa bimbang jika menganggap muay thai sebagai satu platform sukan dan bukan pertukaran pukulan semata-mata.
“Selain daripada membina fizikal, saya percaya bahawa sukan inii sebenarnya dapat mendidik disiplin hidup yang tinggi,” katanya.-UTUSAN











