Remadesia cipta rekod beg 'upcycle' terbesar Malaysia

Remadesia cipta rekod beg ‘upcycle’ terbesar Malaysia

Alfred menunjukkan sijil dan pengiktirafan MBOR menerusi kejayaan 'Beg Tarpaulin Upcycle Terbesar' di Bukit Jalil.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Remadesia melakar sejarah apabila ‘Beg Tarpaulin Upcycle Terbesar’ diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR), sekali gus membuktikan bahan buangan industri masih mempunyai nilai untuk diolah menjadi produk berfungsi dan tahan lama.

Beg gergasi berkenaan dipamerkan di Pavilion Bukit Jalil sempena Malaysia Circular Economy & Sustainability Week 2026, dengan ukuran 4.1 meter tinggi, 2.25 meter panjang dan 1.2 meter lebar selepas mengambil masa kira-kira dua minggu untuk disiapkan.

Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli mengunjungi pameran berkaitan kelestarian dan ekonomi kitaran itu pada Ahad.

Pengasas Remadesia, Alfred Kong berkata, pengiktirafan berkenaan bukan sekadar pencapaian untuk dicatat sebagai rekod, sebaliknya menjadi medium meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai konsep ‘upcycling’ yang memberi nilai baharu kepada bahan yang sebelum ini dianggap sebagai sisa.

Katanya, tarpaulin industri mempunyai tahap ketahanan yang tinggi kerana bahan berkenaan sememangnya dihasilkan untuk kegunaan industri, sekali gus membolehkannya digunakan semula berbanding berakhir di tapak pelupusan.

“Kami berharap pencapaian ini menjadi titik permulaan untuk lebih ramai memahami reka bentuk kitaran, penggunaan semula bahan dan amalan penggunaan yang lebih bertanggungjawab,” katanya ketika ditemui media selepas program itu di sini.

Alfred berkata, inisiatif berkenaan turut membawa nilai sosial menerusi kerjasama Remadesia dengan Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia (PSJKM) dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada wanita B40, ibu tunggal, Orang Asli serta komuniti penjara wanita yang terbabit dalam proses jahitan.

Tambahnya, pengiktirafan MBOR itu turut membuka peluang kepada Remadesia untuk memperluaskan kerjasama dengan syarikat tempatan, selain menganjurkan bengkel dan membangunkan lebih banyak program komuniti berteraskan kelestarian.

“Buat masa ini, pihaknya akan memberi tumpuan kepada penghasilan beg sebelum mempertimbangkan kategori produk lain seperti kasut dan pakaian selepas melalui proses penyelidikan serta pembangunan,” katanya.

Tunku Azizah (empat dari kanan) berkenan merakam kenangan bersama ‘Beg Tarpaulin Upcycle Terbesar’ di Bukit Jalil pada Ahad.

Sementara itu, Pengarah Pembangunan Perniagaan Remadesia, Jan Teo berkata, setiap beg yang dihasilkan mempunyai identiti tersendiri apabila kesan penggunaan terdahulu pada bahan dikekalkan, sekali gus menjadikan setiap produk mempunyai cerita yang berbeza.

“Bahan yang sepatutnya dibuang kami kutip, cuci dan berikan kehidupan kedua, sebab itu kami anggap setiap beg mempunyai ‘jiwa’ kerana ia bukan sahaja mengenai produk, tetapi juga peluang kepada komuniti untuk menjana pendapatan,” katanya.

Menurutnya, koleksi Remadesia ketika ini dijual antara RM39 hingga RM329 mengikut saiz dan kegunaan, manakala pihaknya turut merancang memperkemas aspek reka bentuk serta jahitan sebelum memperluaskan rangkaian produk.

Tambahnya, Remadesia menyasarkan pembukaan butik sendiri pada 2027 sebagai sebahagian daripada perancangan mengembangkan jenama tempatan yang berteraskan konsep ‘upcycling’.

“Kami mahu pelancong yang datang ke Malaysia membawa pulang sesuatu yang dibuat di Malaysia dan mempunyai makna, bukan sekadar sebuah beg,” katanya.

Pemasangan beg gergasi itu turut diserikan dengan aktiviti interaktif termasuk ‘Upcycled Bag Sand Bag Challenge’, ‘DIY Personalise Corner’ dan ruang bergambar, selain orang ramai diberi peluang meninggalkan tandatangan sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperluaskan amalan ‘upcycling’ di Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×