MELAKA: Hebahan awal dan penyelarasan antara agensi akan ditambah baik dalam usaha menarik lebih banyak koperasi sekolah menyertai Program Asas Keusahawanan Koperasi (Aksi) pada masa akan datang.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, Datuk Tuminah Kadi berkata, buat masa ini hanya 10 peratus daripada 84 koperasi sekolah di Melaka mengambil bahagian dalam pertandingan dwitahunan itu.
Beliau berkata, penyertaan yang rendah itu dipercayai berpunca daripada kekangan masa yang dihadapi pihak sekolah.
Berita berkaitan:
“Waktu sekarang ada peperiksaan besar jadi kesesuaian masa (pertandingan) perlu dibuat kajian semula. Tahun depan juga sesi persekolahan akan bermula Januari dan mungkin menjadi halangan kepada jumlah penyertaan.
“Selain itu, agensi diminta membuat hebahan mengenai pertandingan lebih awal supaya sekolah dapat membuat perancangan aktiviti dengan lebih berkesan. Dua sektor ini kita akan tambah baik agar lebih banyak koperasi sekolah dapat mengambil bahagian kelak,” katanya dalam sidang akhbar Program Aksi Peringkat Negeri Melaka 2025 di sini, hari ini.
Tuminah menyampaikan piala, sijil penyertaan dan cek berjumlah RM3,000 kepada Koperasi Sekolah Menengah Ghafar Baba Masjid Tanah Melaka Berhad selepas dipilih sebagai pemenang Anugerah Projek Terbaik.-UTUSAN











