PETALING JAYA: Benar Sony Norde mahu ‘angkat kaki’, namun bukan disebabkan isu gaji bersama Melaka United.
Itu penegasan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Melaka United, Datuk Seri Justin Lim, yang menegaskan skuad Sang Kancil tidak berhasrat melepaskan bintang penyerang Haiti tersebut pada jendela perpindahan yang ditutup esok.
Tegasnya, sekali pun Melaka memberi pertimbangan untuk membenarkan pemain berusia 32 tahun itu pergi, dia tidak boleh menyarung jersi mana-mana pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M) selepas namanya sebelum ini turut dikaitkan dengan Selangor.
“Ya, dia ada minta untuk pergi tetapi bukan disebabkan masalah tunggakan gaji. Ia lebih kepada masalah keluarga, kita memahami perkara itu.
“Kami tidak bercadang untuk melepaskan Norde, namun kalau dia benar-benar mahu pergi dan kami terpaksa melepaskannya, dia tidak boleh bermain dengan pasukan lain dalam Liga Malaysia. Itu adalah syarat yang dipersetujui sebelum ini.

“Kami tidak melakukan kesalahan yang membolehkan dia meninggalkan kontraknya. Tiada tunggakan gaji dua bulan, itu tidak benar,” kata Justin kepada Utusan Malaysia semalam.
Semalam, sumber dalaman Melaka United mendedahkan, beberapa pemain mahu meninggalkan skuad Sang Kancil kerana hampir dua bulan tidak menerima gaji.
Norde antara pemain yang sudah memaklumkan kepada pengurusan pasukan mengenai hasratnya.
Dua lagi tonggak pertahanan Sang Kancil dikatakan menunggu giliran untuk mengikuti jejaknya jika isu gaji masih gagal dilangsaikan.
Justin bagaimanapun menegaskan, Melaka tidak berdepan isu gaji yang serius sejak menyelesaikan tunggakan, April lalu.
Norde antara tonggak penting yang membawa skuad Sang Kancil melayakkan diri ke separuh akhir Piala Malaysia musim lalu.