Kedah mahu bangkit benam Kaya FC

Kedah mahu bangkit benam Kaya FC

AIDIL Sharin Sahak (tengah) dalam sidang akhbar menjelang pertemuan menentang Kaya FC di Bali, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Bukan berniat memandang rendah kemampuan Kaya FC yang akan ditentang dalam perlawanan kedua Piala AFC 2022 malam esok, Kedah bagaimanapun turun dengan misi wajib menang ke atas wakil Filipina itu bagi menghidupkan peluang untuk meneruskan kemaraan ke peringkat seterusnya.

Selepas kalah 2-0 kepada Bali United dalam aksi pertama, Jumaat lalu, kemenangan ke atas Kaya FC adalah satu-satunya jalan buat skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak untuk menamatkan kempen di Bali selaku dua pasukan terbaik Kumpulan G.

PEMAIN Kaya FC menjalani latihan di Bali semalam.

Menurut Aidil, beberapa pertukaran akan dilakukan bagi memantapkan pasukan, selain memastikan anak-anak buahnya cergas bagi meraih keputusan dimahukan, sebelum menutup kempen dengan menentang Visakha FC dari Kemboja.

Kata Aidil, Kaya FC bukan lawan mudah kerana pasukan itu memiliki pengalaman bermain dalam Liga Juara-juara Asia (ACL) sebelum ini.

PEMAIN Kedah menjalani latihan di Bali, Indonesia dalam persiapan menghadapi Kaya FC pada aksi kedua Piala AFC esok. – IHSAN KDA FC

“Setelah tewas dalam perlawanan pertama, kami akan bermati-matian tanpa mengira siapa kami temui selepas ini. Objektif kami adalah mendapatkan tiga mata penuh bagi mencari jalan untuk layak ke peringkat seterusnya.

“Kami tahu pasukan lawan akan bergantung harap kepada beberapa pemain utama mereka termasuk Robert Mendy bagi membolosi gawang kami. Sudah tentu kami akan merantai pergerakan mereka dan menghalang rancangan pasukan itu dari berjaya,” katanya dalam sidang akhbar pra-perlawanan di Bali, hari ini.

Seperti Kedah, Kaya FC juga ibarat ‘harimau luka’ selepas kalah mengejut 1-2 kepada Visakha FC dalam aksi pembukaan.

Aidil menambah, ketika ini semua pemain dilihat cukup bersedia bagi memastikan cabaran KDA FC dalam kejohanan itu dapat diteruskan.

“Semalam kami sudah buat sesi pemulihan dan ada sesi perbincangan melibatkan semua yang berlangsung dalam suasana cukup positif. Insya Allah kami akan lakukan yang terbaik,” katanya.

Dalam pada itu penjaga gol KDA FC, Mohd. Shahril Saari melaungkan keyakinan betapa rakan-rakannya mampu menghadirkan aksi terbaik bagi meraih kemenangan esok.

“Bagi saya, kami sudah membuat cukup persiapan bagi menghadapi kejohanan ini dan saya yakin setiap seorang yang diturunkan esok, akan memberikan yang terbaik.

“Kita wajib menang dalam dua perlawanan seterusnya. Di pihak saya pula sekiranya diturunkan, sudah tentu saya mahu membantu pasukan meraih kemenangan dengan tidak melepaskan sebarang gol,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.