PETALING JAYA: Ketumpulan jentera serangan mengecewakan Ketua Jurulatih Kuala Lumpur City (KL City), Bojan Hodak selepas pasukannya sekadar seri 0-0 dengan PSM Makassar dalam aksi pembukaan Kumpulan H, Piala AFC kelmarin.
Bojan berkata, barisan pertahanan bermain dengan baik mengekang asakan lawan, namun penyudah tumpul menimbulkan kerisauan.
“Jika anda tonton perlawanan ini, anda faham kenapa kami membawa masuk penyerang baharu (Jordan Mintah). Kami bertahan baik, tidak melepaskan sebarang gol tetapi ketumpulan di bahagian hadapan membuatkan kami kecewa tidak menang.

“Pada babak kedua, kami bermain lebih baik dan punyai banyak peluang untuk jaringkan gol dan hampir dapat tiga mata. Namun, keputusan seri adalah yang terbaik untuk kedua-dua pasukan,” kata Bojan.
Dalam aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras itu, KL City mensia-siakan banyak peluang dengan beberapa percubaan terkena palang.
Bagaimanapun, Bojan percaya pasukannya masih mampu layak ke peringkat seterusnya walaupun keciciran mata.
“Bagi saya kumpulan ini masih lagi terbuka, Tampines Rovers juga pasukan yang hebat dan saya rasa ini akan menjadi satu persaingan yang menarik buat penyokong,” katanya yang akan berdepan kelab Singapura itu, Khamis depan.