PUTRAJAYA: Kontinjen Wilayah Persekutuan (WiPers) meletakkan sasaran untuk muncul juara keseluruhan dalam Sukan Malaysia (SUKMA) XX Majlis Sukan Negara (MSN) 2022, September ini.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, WiPers mempertaruhkan 587 atlet untuk bertanding dalam 31 jenis sukan yang dipertandingkan.
“Apabila kita masuk sesuatu pertandingan, kita mahu menjadi johan dan melihat penampilan atlet serta pengurusan WiPers, sudah pasti untuk menjuarai semua kategori tidak menjadi masalah.
“Buat masa ini, kita ada 587 atlet melibatkan 31 acara dan kita akan melakukan penyusanan atlet bagi membolehkan apa yag disasarkan tercapai,” katanya, hari ini.
Beliau ditemui selepas Majlis penyerahan watikah pelantikan Pengurus SUKMA ke-20 MSN 2022 di Menara Seri Wilayah, di sini.
Dalam Majlis itu, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Datuk Seri Rosida Jaafar dilantik sebagai Ketua Kontinjen Wipers Sukma ini.
Turut dilantik tiga Timbalan Ketua Kontinjen iaitu Pengarah Eksekutif (Perancangan) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Datuk Sulaiman Mohamed; Naib Presiden Kanan (Perkhidmatan Korporat) Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) Perbadanan Labuan Rithuan Mohd Ismail.
Sementara itu Pengarah MSN Wilayah Persekutuan, Dr. Hasnul Faizal Hussin Amri berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat Julai ini untuk menyusun dan memuktamadkan atket bagi membolehkan proses latihan yang dirancang berjalan lancar.
“Mesyuarat ini bagi menyemak kategori apa yang dipertandingan kerana dalam mesyuarat MSN terdahulu, ada sukan yang tidak dipertandingkan berikutan tiada pembabitan negeri lain.
“Bulan Mei dan Jun ini adalah tempoh kritikal untuk semua atlet.. Disusuli program khas, kita akan menilai mereka yang berpotensi bagi memastikan SUKMA ini milik Wilayah Persekutuan,” katanya. – UTUSAN ONLINE