ISKANDAR PUTERI: Meskipun perit, pengendali Ulsan Hyundai, Hong Myung Bo menerima kekalahan 1-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan tangan terbuka yang menyaksikan pasukannya terkandas di peringkat kumpulan Liga Juara-juara Asia (ACL) kelmarin.
Menurut bekas Ketua Jurulatih Korea Selatan itu, anak-anak buahnya sudah memberikan aksi terbaik ketika berdepan jadual perlawanan yang padat selain pertemuan yang sukar sepanjang kejohanan itu.
Jelasnya, beliau beranggapan nasib tidak menyebelahi juara ACL musim 2020 itu setelah bolos gol sendiri menerusi sentuhan terakhir perlawanan berkenaan sekali gus membuka ruang buat JDT mencipta sejarah melangkah ke pusingan seterusnya.
“Sebelum perlawanan, kami hanya mempunyai satu pilihan sahaja iaitu untuk memenangi perlawanan dan tumpuan khusus diberikan bagi memburu gol kemenangan.
“Pada penghujung babak kedua kami mengubah formasi yang lebih menyerang namun gol yang diburu tidak muncul jua sebaliknya pasukan tuan rumah yang berjaya mendapatkan gol.
“Dengan jaringan gol sendiri itu, saya melihat keputusan ini tidak menyebelahi kami. Kami terpaksa menerima kekalahan dengan tangan yang terbuka,” katanya.
Kekalahan itu menyaksikan Ulsan Hyundai menamatkan saingan peringkat Kumpulan I di kedudukan ketiga di belakang Kawasaki Frontale yang turut gagal layak ke pusingan 16 pasukan terbaik sebagai slot tempat kedua terbaik.
Myung Bo berkata, daripada kekalahan itu, ia akan menjadi pengajaran buat pemain untuk terus bangkit menjadi pasukan yang lebih baik di masa akan datang.
“Pengalaman perit ini akan dijadikan pengajaran buat semua pemain untuk terus berusaha keras sekiranya mahu mengulangi kejayaan menggondol kejuaraan AFC pada musim 2020,” katanya.
Buat masa ini, Myung Bo mahu pemain mengalihkan tumpuan kepada aksi liga domestik sebaik tiba ke Korea Selatan nanti.