PETALING JAYA: Penyedia penyelesaian kejuruteraan bersepadu, Kelington Group Berhad (Kelington) berjaya meraih kontrak bernilai AS$105.0 juta (RM413.7 juta) bagi projek sistem pengagihan gas di Gujarat, India.
Kontrak tersebut yang dianugerahkan oleh pengeluar semikonduktor terkemuka di India, melibatkan penyediaan penyelesaian turnkey bagi kemudahan fabrikasi wafer semikonduktor di negara berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kelington Group Berhad, Lim Seng Chuan berkata, projek tersebut merupakan faundri semikonduktor ‘pure play’ pertama di India yang mendapat sokongan pembiayaan modal serta infrastruktur yang kukuh daripada kerajaan negara itu.
“Ini merupakan pencapaian penting dan lonjakan besar buat kumpulan kerana kami berjaya mengukuhkan kontrak utama pertama dalam sektor semikonduktor di India. Ia meletakkan kumpulan di peringkat awal pasaran yang mempunyai pertumbuhan tinggi serta peluang jangka panjang yang luas,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, kerja-kerja bagi projek tersebut akan dimulakan serta-merta dan dijadualkan siap sepenuhnya menjelang Julai 2028.
Selain kontrak utama tersebut, Kelington sebelum ini turut memperoleh pesanan belian (PO) bernilai AS$10.4 juta (RM41.0 juta) untuk pembekalan penulen gas sistem pengagihan bagi kemudahan yang sama, menjadikan nilai keseluruhan kemenangan kontrak di fasiliti tersebut mencecah AS$115.4 juta (RM455.0 juta).
Syarikat itu juga sedang memuktamadkan tiga Surat Niat (LOI) berjumlah AS$17.0 juta (RM67.1 juta) bagi skop kerja tambahan di lokasi yang sama, sekali gus memperluas penglibatan kumpulan dalam pembangunan tersebut.
“Peluang tambahan ini mencerminkan keyakinan pelanggan terhadap keupayaan teknikal dan rekod prestasi pelaksanaan kami. Kami akan terus bekerjasama rapat dengan rakan projek bagi memastikan fasiliti ini disiapkan mengikut masa yang ditetapkan,” tambahnya.
Setakat tahun ini, Kelington berjaya memperoleh kontrak baharu berjumlah kira-kira RM555 juta.
Dengan baki pesanan sedia ada sebanyak RM1.4 bilion setakat 31 Disember 2025, kumpulan itu mempunyai keterlihatan pendapatan yang kukuh bagi tahun-tahun akan datang. – UTUSAN











