PETALING JAYA: “Bagaikan impian menjadi nyata dapat menonton aksi Liverpool menentang Chelsea dalam final Piala FA secara langsung di Wembley.”
Itu reaksi Faridz Adzli Za’abah, 41, yang menjadi pemenang bertuah peraduan ‘Emirates Terbangkan Anda ke Piala FA’ anjuran syarikat penerbangan Emirates dengan kerjasama Utusan Malaysia.
Berjaya mengalahkan hampir 200 peserta lain dalam peraduan yang berlangsung selama seminggu bermula 14 April lalu, Faridz yang merupakan penyokong tegar Liverpool akan diterbangkan ke London, Khamis ini untuk menonton perlawanan akhir Piala FA di Stadium Wembley pada Sabtu ini.
Sebagai pemenang bertuah, Faridz bukan sahaja meraih dua tiket perlawanan, malah dua tiket penerbangan pergi balik ke London kelas ekonomi, selain penginapan hotel tiga hari dua malam.
“Sebenarnya, saya isi borang penyertaan sebelum separuh akhir (Liverpool dan Manchester City) lagi, ketika itu saya amat harapkan Liverpool dapat menang dan Alhamdulillah, Reds layak ke final. Selepas itu saya mula berharap serta berdoa agar nama saya diumumkan sebagai pemenang.
“Ketika menerima panggilan yang menyatakan saya menang peraduan ini, saya pada mulanya kelu dan seakan-akan tidak percaya. Mungkin ini rezeki saya untuk menyaksikan kelab yang diminati sejak 1995 beraksi di depan mata untuk merebut Piala FA dan ini juga mungkin menjadi sejarah untuk saya.
“Saya akan pergi menyaksikan perlawanan akhir ini bersama isteri saya, Norul Aini Md. Noor kerana dia juga banyak memberi sokongan kepada saya sebelum ini. Sebelum ini saya pernah menyaksikan Liverpool di depan mata sebanyak dua kali iaitu semasa di Anfield dan Bukit Jalil.

“Saya ambil kesempatan ini juga untuk mengucapkan terima kasih kepada Emirates dan Utusan Malaysia yang merealisasikan impian saya untuk menyaksikan perlawanan membabitkan Liverpool,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima hadiah kemenangan yang disampaikan oleh Pengarah Urusan Emirates Malaysia, Mohammad Al Attar sambil disaksikan oleh Pengarang Kumpulan Media Mulia, Mohamad Azlan Jaafar dan Pengarang Utusan Malaysia, Aznan Bakar.

Sementara itu, Mohammad berharap, kerjasama dengan Utusan Malaysia akan diteruskan pada masa akan datang bagi meraikan peminat bola sepak serta pelanggan syarikat penerbangan itu Malaysia.
“Kerjasama ini sangat bagus dan kami gembira dengan segala keputusan, semoga pemenang yang dipilih gembira untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala FA di Stadium Wembley. Dengan kejayaan peraduan kali ini, kami akan melihat kerjasama yang seterusnya pada masa akan datang bersama Utusan Malaysia,” katanya.