Sukar tapi bukan mustahil

Sukar tapi bukan mustahil

BARISAN pemain Malaysia B-23 bersama kru kabin Malaysia Airlines setibanya di Tashkent, Uzbekistan untuk menghadapi Piala Asia B-23 yang bermula esok. – IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Di atas kertas, Korea Selatan tampak unggul dengan barisan pemain bertaraf dunia dan turun menggalas status juara bertahan, namun itu bukan bermakna Malaysia langsung tiada harapan untuk menang apabila kedua-dua pasukan berentap pada aksi pembukaan Piala Asia Bawah 23 ­(B-23) di Tashkent, Khamis ini.

Pengendali skuad Malaysia B-23, Brad Maloney sudah mendapatkan sebanyak mungkin maklumat mengenai Korea Selatan daripada Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon sebaik sahaja undian kejohanan dikeluarkan.

Beliau mengakui, berjaya mengutip mata ke atas skuad Taegeuk Warriors dalam aksi ­sulung Kumpulan C sudah dianggap satu pencapaian yang baik, namun skuad muda negara pastinya turun dengan mentaliti menang dan bukan sekadar melengkapkan perlawanan.

SKUAD Harimau Malaya B-23 selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Islam Karimov Tashkent, Uzbekistan semalam. – IHSAN FAM

“Korea Selatan lawan sukar dan nama besar dalam bola sepak Asia.

“Mereka memiliki ramai pemain terbaik yang kerap beraksi dalam Sukan Olimpik dan kejohanan utama, termasuk kelayakan Piala Dunia.

“Janji kami, Malaysia akan memberikan tentangan terbaik dan pastikan tiada perlawanan mudah buat mereka.

“Ya, saya ada berbincang dengan Kim Pan-gon (mengenai Korea) sebaik sahaja undian keluar.

“Kami melihat barisan pemain mereka, memang sangat berkualiti, termasuk muka baharu yang dibawa masuk,” kata Maloney.

Pada Piala Asia B-23 2018 di China, skuad muda negara yang ketika itu dibimbing Datuk Ong Kim Swee melakar kejutan de­ngan melangkah ke suku akhir, malah memberi tentangan hebat kepada Korea sebelum kalah tipis 1-2.

Hanya dua pasukan terbaik setiap kumpulan akan mengesahkan tiket suku akhir, di mana gergasi Asia Tenggara, Vietnam dan Thailand menjadi dua lagi lawan yang perlu dilepasi oleh Harimau Muda untuk meneruskan kemaraan.

Kata Maloney, berbanding Sukan SEA, persiapan ke Piala Asia dilihat lebih baik.

“Memang sebelum Sukan SEA persediaan kita agak singkat namun pemain nampaknya sudah serasi dan akan tampil lebih baik di kejohanan ­(Piala Asia) ini , jadi pemain tidak sabar untuk turun beraksi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya