KOTA BHARU: Stadium Sultan Muhammad IV yang menjadi gelanggang buat dua pasukan di negeri ini iaitu Kelantan FC dan Kelantan United FC akan kembali beroperasi sepenuhnya pada Ogos depan.
Khabar gembira itu disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Kelantan Wan Roslan Wan Hamat yang turun padang meninjau perkembangan terkini kerja-kerja menaik taraf stadium tersebut hari ini. Hadir sama Setiausaha Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) Mohd. Roshidi Ismail.
Wan Roslan berkata, kerja-kerja menaik taraf Stadium Sultan Muhammad IV membabitkan peruntukan berjumlah RM5 juta.
Menurutnya, proses itu melibatkan penukaran lampu limpah, baik pulih kemudahan sedia ada serta kerosakan pada sturuktur bangunan berkenaan.
“Kerja-kerja penukaran lampu limpah bermula daripada penggantian tiang sehingga lampu itu menelan belanja berjumlah RM3.4 juta.
“Bila siap nanti, lampu limpah di sini (Stadium Sultan Muhammad IV) akan mengikut syarat yang telah ditetapkan oleh pihak Liga Sepak Malaysia (MFL),” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor itu memberitahu, baki jumlah peruntukan itu meliputi kerja-kerja baik pulih sturuktur bangunan. Katanya, kerja-kerja tersebut dijangka siap sepenuhnya pada bulan hadapan.
“Kerjaan persekutuan di bawah Program Strategik Pemerkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerksa) telah menyelenggara kemudahan di stadium termasuklah 800 tempat duduk penonton di kawasan astaka.
“Kerajaan negeri turut meluluskan peruntukan berjumlah RM100,000 untuk menyempurnakan lagi kerja-kerja naik taraf tempat duduk astaka,” ujarnya.
Tambahnya, apabila siap nanti seramai 1,600 orang penyokong dapat berada di tempat duduk itu berbading 1,200 sebelumnya. – UTUSAN ONLINE