PARIS: Real Madrid menghancurkan hati Liverpool sekali lagi apabila merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara buat kali ke-14 menerusi kemenangan 1-0 di Stade de France, sebentar tadi.
Penjaga gol Real, Thibaut Courtois muncul wira pasukannya apabila menyelamatkan deretan percubaan yang dilancarkan Reds, dan Vinicius Jr. menghukum kealpaan benteng lawan dengan meledak gol kemenangan pada minit ke-59.
Ia kali kedua berturut-turut Real mengecewakan anak-anak buah Jurgen Klopp selepas turut menumpaskan Reds 3-1 dalam perlawanan akhir 2018.
Liverpool harus menyalahkan diri sendiri atas kegagalan menjulang kejuaraan Eropah ketujuh selepas mensia-siakan banyak peluang terhidang pada ketika Real yang sekali sekala melancarkan serangan berjaya memanfaatkan kesempatan terbaik yang diperoleh.

Perlawanan yang bermula lewat 36 minit gara-gara bas yang membawa pasukan Liverpool terperangkap dalam kesesakan lalu lintas menyaksikan penguasaan penuh Reds pada babak pertama.
Peluang terbaik Liverpool yang diperoleh menerusi Sadio Mane, Mohamed Salah dan Luiz Diaz sama ada dinafikan oleh ketangkasan Courtois atau sedikit tersasar dari gawang.
Keghairahan Liverpool menyerang kubu lawan bertali arus menyebabkan benteng mereka terperangkap apabila Real melakukan sernagan balas, namun Reds bernasib baik apabila jaringan Karim Benzema pada babak pertama dibatalkan oleh video bantuan pengadil (VAR) kerana berada dalam posisi ofsaid.
Selepas agak tenggelam pada separuh masa pertama, Real kembali menyusun permainan memasuki babak kedua, namun gagal untuk menembusi kubu Reds.
Sebaliknya, Liverpool terus mengatur serangan-serangan yang mengancam pertahanan lawan, namun sekali ketiadaan penyudah dan kecekapan Courtois mengecewakan mereka.
Real akhirnya mendapat gol yang dicari-cari selepas Vinicius yang tidak dikawal oleh pertahanan Liverpool hanya perlu menolak bola dari jarak dekat untuk memastikan kemenangan bersejarah Los Blancos di kota Paris. – AGENSI