LONDON: Siapa pun yang memenangi Piala FA hari ini, sejarah bakal tercipta di mana Jurgen Klopp atau Thomas Tuchel akan menjadi jurulatih Jerman pertama menjuarai trofi bola sepak tertua di England itu.
Klopp dan Tuchel bukan sahaja bertutur dalam bahasa sama, malah menggunakan bahasa bola sepak yang sama iaitu gemar bermain ‘gegenpressing’, selain memiliki latar belakang hampir sama, pernah melatih Mainz dan Borussia Dortmund di Liga Jerman.
Mereka akan berentap buat kali ke-19 sebagai pengurus apabila membawa Liverpool serta Chelsea bertarung sesama sendiri untuk kali keempat musim ini.
Tiga pertemuan terakhir berlangsung sengit dan berakhir seri, namun Reds mengetepikan Blues untuk menjulang Piala Liga di Wembley, Februari lalu menerusi penentuan sepakan penalti 11-10 selepas permainan sebenar berakhir 0-0.

Klopp gemar mencampurkan gaya tekanan tinggi serta memenangi penguasaan, selain melancarkan serangan balas, di mana gerakan boleh bermula dari mana-mana posisi.
Trio Mohamed Salah, Sadio Mane dan Luis Diaz dijangka menjadi pilihan mengetuai serangan. Kecederaan Fabinho mendorong Klopp menurunkan Jordan Henderson dan Thiago Alcantara bersama Naby Keita di bahagian tengah.

Memulakan gerakan dari pertahanan sayap sering menjadi kunci dalam sistem permainan Tuchel, manakala di bahagian serangan, dia mungkin memilih Romelu Lukaku dalam kesebelasan utama selepas bintang Belgium itu menemui sentuhan sejak kebelakangan ini.
Jika Chelsea turun untuk memburu satu-satunya trofi yang masih boleh direbut musim ini, Liverpool yang sudahpun menjuarai Piala Liga masih di landasan merangkul gelaran quadruple (empat trofi).

Reds menduduki tangga kedua Liga Perdana dengan tiga mata di belakang Manchester City ketika liga berbaki dua perlawanan, selain akan bertemu Real Madrid dalam final Liga Juara-Juara di Paris pada 28 Mei.
KECEDERAAN JEJAS STRATEGI
Blues yang turun dengan reputasi juara Piala Super Eropah dan Piala Dunia Kelab mungkin tidak dapat menurunkan Mateo Kovacic yang cedera buku lali, malah isu kecergasan pertahanan, Marcos Alonso dan Callum Hudson-Odoi juga meresahkan mereka.