IPOH: Perak tidak bercadang mewujudkan Perbadanan Stadium kerana mendapati ia tidak menguntungkan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamad berkata, kajian telah dibuat terhadap projek itu di beberapa negeri dan mendapati ia tidak praktikal.
“Kita mendapati program begini akhirnya kembali ke kerajaan negeri.
“Jadi apa guna dilaksanakan jika tidak menguntungkan,” katanya selepas majlis penyampaian insentif kepada atlet penyumbang pingat di Sukan SEA 2021 di sini, hari ini.
Perak pernah mengumumkan penubuhan perbadanan stadium bagi mengawal selia kemudahan sukan tetapi tidak dilaksanakan.
Menurut Khairul Shahril, apa yang ada ialah kerjasama dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang bertindak mengurus kemudahan-kemudahan sukan di Kompleks Sukan Ipoh di sekitar bandaraya ini.
Katanya, di daerah-daerah kemudahan sukan diletak di bawah jagaan dan kendalian Majlis Kerajaan Tempatan. – UTUSAN ONLINE










