Liverpool tidak banyak berubah – Benzema

Liverpool tidak banyak berubah – Benzema

PEMAIN Real Madrid menjalani latihan di Madrid semalam menjelang final Liga Juara-Juara menentang Liverpool di Paris, Sabtu ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID: Karim Benzema percaya, Real Madrid tahu apa yang akan mereka hadapi di Paris, Sabtu ini dan mendakwa Liverpool tidak banyak berubah selama ini.

Juara La Liga itu akan berdepan naib juara Liga Perdana Inggeris tersebut dalam pertembungan ‘terhebat’ bagi me­nentukan raja bola sepak Eropah.

Ia adalah ulangan final Liga Juara-Juara 2018 dan suku akhir musim lalu yang mana Los Blancos memenangi kedua-dua ­saingan.

Musim lalu, Jurgen Klopp terpaksa memulakan Ozan Kabak dan Nat Phillips di pertahanan tengah kerana kecederaan yang dialami Virgil van Dijk, Joel Matip dan Joe Gomez.

Begitupun situasi kini berbeza, malah Reds turut menandatangani Luis Diaz pada Januari ini, sekali gus menguatkan jentera serangan Klopp.

Benzema bagaimanapun percaya, pasukannya mempunyai strategi untuk mengatasi lawan mereka di Stade de France.

KARIM Benzema (kanan) dan Luka Modric bakal menjadi watak penting Real Madrid, hujung minggu ini.

“Mereka sangat bagus tetapi mereka tidak banyak berubah selama bertahun-tahun.

“Apa pun, pada akhirnya kami perlu melihat permainan sendiri. Jika kami melakukan mengikut cara sendiri, maka semua akan berjalan baik,” kata penyerang ­Perancis itu.

Real mara ke final selepas mencipta kebangkitan hebat ketika menentang Paris Saint-Germain (PSG), Chelsea dan Manchester City.

Semua kemenangan diraih di Santiago Bernabeu dengan mereka memberi tekanan tanpa henti kepada lawan.

“Kali ini, kami akan bermain di tempat lawan, bukan di laman sendiri. Kami perlu bertahan dan bermain serangan balas,” kata Benzema.

Sementara itu, Dani Carvajal memberi bayangan Carlo Ancelotti akan menggunakan taktikal sama di perlawanan akhir dengan berusaha untuk memberikan tekanan kepada Liverpool menerusi gerakan balas pantas.

“Jika kami melepasi tekanan pertama itu, kami boleh mencipta banyak gerakan bahaya. Ia salah satu kunci kepada permainan,” kata pemain pertahanan Real itu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN