IPOH: ‘Drama’ penjualan Perak FC berterusan apabila majlis menandatangani perjanjian bagi memuktamadkan jual beli kelab itu yang sepatutnya dijalankan hari ini ditangguhkan.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi XOX Berhad yang juga bakal pemilik Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi bahawa majlis ditangguhkan ke hari lain kerana dokumen perundangan tidak sempat disiapkan.
“Majlis tanda tangan dokumen jual beli Perak FC ditangguhkan dahulu.
“Ia akan diadakan apabila dokumen perundangan itu siap dalam beberapa hari lagi,” katanya.
XOX dan pemilik Perak FC, Impact Media and Communications Sdn. Bhd. (IMC) menandatangani perjanjian (MoU) pada 29 April lalu.
Mengikut perjanjian itu majlis memuktamadkan penjualan Perak FC akan dilakukan selepas dua minggu.
Berikutan itu juga Liga Bola Sepak Malaysia ( MFL) memberi tempoh kepada XOX melunaskan tunggakan gaji pemain serta hutang kepada pemain import bernilai RM1.7 juta pada 29 Mei ini.
Sementara itu, Abdul Azim gembira dengan prestasi dipamerkan Perak FC yang mengalahkan Projek FAM-MSN 1-0 dalam aksi Liga Perdana, kelmarin.
“Mereka skuad muda dan mempunyai semangat juang tinggi.
“Saya nampak sinar di hujung terowong buat pasukan ini,” katanya.- UTUSAN ONLINE