PARIS: Selepas mempamer aksi cemerlang ketika membantu Real Madrid menumpaskan Liverpool untuk menjulang kejuaraan Liga Juara-Juara buat kali ke-14, Thibaut Courtois menuntut peminat bola sepak agar lebih ‘menghormati nama saya’.
Penjaga gol Belgium itu mengharungi musim pertama yang sukar ketika tiba di Madrid pada 2018, namun selepas itu, dia menjadi benteng ampuh Los Blancos, terutama ketika barisan belakang mereka kerap terdedah.
Walaupun Real berterima kasih kepada Vinicius Jr. yang meledak jaringan tunggal kemenangan pada minit ke-59, namun Courtois adalah wira mereka selepas menafikan hajat Liverpool untuk menjaringkan walau satu gol daripada lebih 20 percubaan yang dilancarkan.

Bercakap selepas perlawanan, Courtois, 30, berkata, dia telah memberi sumbangan dalam banyak cara biarpun ramai yang meragui kemampuannya.
“Saya sangat gembira dan bangga dengan prestasi pasukan. Apabila saya perlu berada di sana, saya berada di sana untuk pasukan.
“Kami telah menewaskan kelab terbaik di dunia. Liverpool sangat kuat hari ini. Saya rasa saya bermain dengan hebat dan itu yang membawa perbezaan.

“Semalam saya beritahu rakan-rakan saya, bila Real Madrid bermain di final, mereka akan menang. Saya berada sejarah pasukan yang bagus.
“Hari ini saya perlu menang perlawanan akhir demi karier, untuk semua kerja keras dan memastikan nama saya dihormati kerana saya tidak fikir saya menerima penghormatan yang sepatutnya, terutama di England,” kata Courtois kepada BT Sport.
Courtois pernah menyarung jersi Chelsea dari 2011 hingga 2018 tetapi dipinjam kepada Atletico Madrid dari 2011 hingga 2014 sebelum menyertai Real. – AGENSI