SEPANG: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil pendekatan ‘selamat’ apabila tidak meletakkan sasaran kepada skuad negara pada Piala Asia B-23 yang membuka tirai di Uzbekistan, Khamis ini.
Bagi badan induk bola sepak negara itu percaya, Malaysia mempunyai peluang melepasi Kumpulan C yang turut dibarisi juara bertahan, Korea Selatan, selain dua gergasi Asia Tenggara, Vietnam serta Thailand.
Bagaimanapun meletakkan sasaran empat terbaik tampak terlalu tinggi untuk digapai anak-anak buah Brad Maloney.
“Jika sebelum ini kita sasar ke separuh akhir tapi saya nak perbetulkan kenyataan itu…diharapkan saingan ini dapat dijadikan satu landasan baik menimba ilmu daripada pasukan Asia yang menyertainya (Piala Asia),” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang semalam.
Mengulas lanjut penyertaan tanpa sasaran, Saifuddin menjelaskan ia adalah realistik dan berdasarkan kemampuan pasukan negara.
“FAM bukan tidak berani tetapi sasaran itu kena ‘ukur baju di badan sendiri’. Bukan tak yakin tapi kita kena realistik dalam meletak sebarang sasaran.
“Kami memang tidak meletakkan sasaran, namun kita berharap skuad B-23 dapat buat yang terbaik.
“Pemain-pemain ini akan wakili negara dalam masa terdekat, jadi ia satu pendedahan berguna,” katanya.
Malaysia akan membuka kempen dengan menentang Korea Selatan, Khamis depan sebelum bertemu Thailand pada Ahad, diikuti bertemu Vietnam pada 8 Jun.
Perlawanan diadakan di Stadium Lokomotiv dan Stadium Bunyodkor di Tashkent.
Pencapaian terbaik Malaysia dalam kejohanan itu adalah pada 2018 apabila mara ke suku akhir sebelum tunduk 1-2 di tangan Korea Selatan.