Dua gol buat Luqman 'menangis'

Dua gol buat Luqman ‘menangis’

LUQMAN Hakim Shamsudin meraikan jaringannya dengan penuh emosi ketika membantu Malaysia mengalahkan Laos kelmarin. - IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANOI: Luqman Hakim Shamsudin mengakui, dia amat sedih kerana selepas menunggu lebih dua tahun barulah dapat meledak gol buat  negara, ketika membantu Malaysia menewaskan Laos 3-1 dalam aksi kedua Kumpulan B, Sukan SEA ke-31 kelmarin.

Dua gol disumbangkan penyerang KV Kortrijk itu membolehkan skuad bawah 23 tahun (B-23) negara melakar kemenangan kedua berturut-turut, sekali gus mencerahkan peluang Malaysia layak ke separuh akhir.

Kali terakhir Luqman mencetak nama sebagai penjaring di pentas antarabangsa adalah pada pusingan kelayakan Kejohanan Bawah 19 Tahun (B-19) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 di Phnom Penh, Kemboja pada November 2019.

LUQMAN Hakim Shamsudin (dua, kanan) cemerlang ketika membantu Malaysia menumpaskan Laos 3-1 dalam perlawanan Kumpulan B, Sukan SEA 2021 di Stadium Thien Truong, Nam Dinh kelmarin. – IHSAN FAM

“Pertama sekali, Alhamdulillah syukur sangat dengan hasil ini atas usaha saya sendiri, gembira memang gembira, sedih pun sedih juga sebab pada 2022 baru saya dapat jaringkan gol untuk Malaysia.

“Saya bersyukur sangat atas sokongan diberikan jurulatih, rakan-rakan dan terutama keluarga serta peminat Malaysia yang menunggu-nunggu jaringan daripada saya. Saya amat teruja sekali dengan diri saya dan hasil usaha kerja keras saya selama ini.

“Perasaan sedih itu memang ada sebab saya bekerja keras (beliau mula sebak) untuk pasukan Malaysia dan untuk saya sendiri. Alhamdulillah, Alhamdulillah,” katanya yang kemudian ditenangkan pegawai pasukan di situ.

Kata Luqman, apa yang dilalui sepanjang kerja kerasnya untuk membuktikan kemampuan sebagai penggempur pasukan negara tidak diketahui ramai, selain menyifatkan pencapain semalam adalah permulaan untuk terus menghasilkan jaringan buat skuad kebangsaan.

“Saya belum lagi berpuas hati dengan permainan saya dalam aksi lawan Laos dan Thailand (Sabtu lepas). Pasukan bukan mahu menang dengan Laos dan Thailand saja, pasukan hendak menang semua perlawanan dalam Sukan SEA, kita hendak meraih pingat emas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN