Bila Aidilfitri tersasar makna

Bila Aidilfitri tersasar makna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAMBUTAN Hari Raya Aidilfitri minggu lalu diraikan dengan meriah di seluruh negara. Setelah sebulan menjalani ibadah puasa dan berusaha keras mengekang nafsu dan perasaan, kedatangan 1 Syawal membawa makna besar kepada seluruh umat Islam.

Di Malaysia, masyarakat semakin menjadikan aktiviti membakar bunga api sebagai kebiasaan setiap kali menyambut perayaan. Mereka bukan sahaja melakukannya secara persendirian di rumah, malah turut menganjurkan pertunjukan besar-besaran untuk dinikmati orang ramai.

Begitu jugalah pada malam ambang Aidilfitri baru-baru ini apabila di sana-sini, percikan bunga api melakar taburan warna menerangi langit malam. Manakala bunyi dentuman mercun pula bergemuruh di mana-mana sahaja, sehinggakan adakalanya menenggelamkan suara alunan takbir raya.

Kanak-kanak bukan sekadar menjadi penonton tetapi ramai yang turut membakar mercun. Tidak kurang juga yang sanggup menggadaikan keselamatan diri dengan membakar mercun buatan sendiri. Mereka mengolah mercun berkenaan supaya kuat bunyi letupannya.

Kini pula mercun semakin murah harganya dan begitu mudah dibeli di mana-mana sahaja, memudahkan lagi capaian bagi orang ramai.

Bagi sebahagian daripada kita, bermain bunga api dan mercun sudah menjadi aktiviti yang sangat ditunggu-tunggukan setiap kali Ramadan. Kanak-kanak dengan penuh keterujaan menghabiskan duit poket membeli mercun untuk dibakar lantas dilemparkan sambil bersorak gembira apabila mendengar letupannya.

Persoalannya, bukankah ibadah berpuasa di bulan yang mulia ini mengajar kita bukan sahaja untuk menahan diri daripada lapar dan dahaga tetapi juga bagi membezakan antara perkara yang diperlukan, membawa manfaat dan hal berkaitan keinginan nafsu semata-mata?

Seperti biasa, apabila Ramadan, kita akan memperkatakan tentang pembelian secara tidak berhemah dan mengikut nafsu, khasnya di bazar Ramadan. Saban hari, ramai yang membeli terlalu banyak makanan sehingga tidak boleh dihabiskan.

Begitu juga dengan pembelian berhelai-helai baju raya baharu pada setiap tahun, terutamanya kerana mengikut trend warna dan fesyen atau jenama baju yang tular di media sosial. Ada yang hanya memakainya beberapa kali sahaja sebelum menjadi sebahagian daripada khazanah baju yang tidak lagi dipakai kerana sudah tidak popular lagi.

Walaupun memakai baju cantik pada hari raya ialah sunat Rasulullah SAW tetapi kita tidak pula disuruh membeli baju baharu setiap tahun apabila masih banyak baju elok tidak terpakai, terutamanya dalam keadaan ekonomi dunia hari ini yang tidak menentu.

Namun desakan untuk mengikut trend di media sosial kadangkala seolah-olah menjadi keperluan sehingga membebankan. Ramai tidak ingin dilihat ketinggalan atau tidak berkemampuan, sehingga mereka sanggup mengikat perut agar boleh berbelanja untuk perkara-perkara sebegini.

Perkara ini menjadi begitu ironik pada ketika seluruh dunia sedang menghadapi krisis sumber susulan perang di rantau negara-negara teluk sejak kebelakangan ini yang menyebabkan harga minyak dan tenaga dunia melonjak naik.

Pihak kerajaan mengarahkan pembatalan rumah-rumah terbuka peringkat kementerian dan agensi kerajaan sebagai langkah menjimatkan perbelanjaan.

Kerajaan perlu mengamalkan penjimatan perbelanjaan supaya pelbagai inisiatif untuk meringankan beban rakyat dapat terus dilaksanakan. Contohnya, program Budi Madani RON95 (BUDI95) yang membolehkan harga minyak kekal pada kadar RM1.99 seliter, walaupun harga sebenar mencecah RM3.87.

Oleh itu, di manakah letaknya tanggungjawab kita sebagai rakyat yang bijak jika hanya mendesak kerajaan meringankan beban hidup tetapi dalam masa sama terus membazir dengan membeli mercun dan bunga api?

 

 

AIDILFITRI sepatutnya menuntut kita meraikan dengan sederhana dan berhemah, bukan dengan pembaziran serta budaya mercun yang lebih banyak membawa mudarat. – GAMBAR HIASAN

KESAN BURUK

Dalam konteks ini, keadaan tersebut jelas menunjukkan segelintir masyarakat memilih untuk membeli barangan yang bukan sahaja tidak berfaedah, malah berpotensi memudaratkan, semata-mata mengikut kehendak nafsu. Mercun dan bunga api bukan sahaja tidak memberikan manfaat kepada pembelinya, bahkan penggunaannya turut mencemarkan alam sekitar serta berisiko menyebabkan kecederaan.

Di kawasan perumahan tempat saya tinggal, masalah ini berlarutan setiap tahun apabila kanak-kanak dan remaja diberi autonomi yang besar dalam membuat keputusan berkaitan membeli dan bermain mercun. Sambil orang ramai asak dengan bertarawih dan berqiamullail, mereka pula sibuk mengelilingi kampung sambil membaling mercun-mercun ke arah kereta dan rumah orang.

Keluarga saya memang jarang membeli pakaian baharu setiap kali tibanya musim raya. Sejak dahulu lagi, pakaian yang saya pakai biasanya merupakan baju turun-temurun, manakala ibu bapa lebih gemar membeli pakaian selepas musim raya berakhir, ketika kedai-kedai menawarkan potongan harga besar-besaran untuk menghabiskan stok.

Hal ini memudahkan kehidupan kami, lebih-lebih lagi selepas ayah meninggal dunia lapan tahun lalu dan keluarga kehilangan sumber pendapatan utama. Walaupun kami melalui kesempitan kewangan, namun kehidupan tetap dapat diteruskan dengan baik kerana sentiasa mengamalkan sikap berjimat cermat serta mensyukuri setiap kurniaan Allah.

Kesedaran untuk menjadi pengguna yang bijak khasnya dalam kalangan orang muda amatlah penting bagi memastikan kita tidak terperangkap dalam kitaran hutang yang akan memakan diri pada kemudian hari. Pendapatan yang tinggi bukan bermakna bebas daripada masalah kewangan sekiranya tidak merancang perbelanjaan dengan baik.

Berbalik kepada isu mercun dan bunga api, susulan pelbagai kejadian yang tidak diingini, perlu sedar pilihan sebenarnya berada di tangan kita. Ketika melihat ahli keluarga lain bermain mercun semasa pulang beraya dahulu, arwah ayah sering mengingatkan kami tentang amanah dan tanggungjawab sebagai khalifah Allah di muka bumi ini.

Kita tidak boleh hanya mendesak kerajaan mengambil tindakan bagi mengatasi setiap masalah tanpa berusaha sendiri secara berterusan untuk menjadi warga yang bertanggungjawab kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

Jika tiada permintaan, sudah pasti tiada sesiapa yang akan menjual mercun dan bunga api lagi. Oleh itu, tepuk dada tanya selera. –UTUSAN

 

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×